HomeBeritaPolitikBanjir tidak berlaku, tapi saya yang difitnah - Zahid

Banjir tidak berlaku, tapi saya yang difitnah – Zahid

PUTRAJAYA: Tiada siapa berkuasa menentukan banjir atau tidak kecuali Tuhan.

Jangkaan banyak pihak bahawa banjir besar berlaku pada hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malah dijadikan modal politik dalam ceramah kempen parti, meleset sama sekali.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan gesaannya supaya PRU15 diadakan pada November lalu adalah keputusan tepat kerana tidak berlaku banjir pada hari pengundian.

Biarpun perkara itu sudah berlalu, Timbalan Perdana Menteri itu masih mengingati pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya mengenai gesaan itu.

“Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir, tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.

“Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, cuaca amat baik pada awal pagi hari pengundian PRU15 sekaligus menafikan kenyataan pembangkang sebelum ini yang bimbang banjir.

Hanya pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil untuk kawasan Parlimen Sepang ditukarkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil berikutan bangunan sekolah itu dilanda banjir dan tenggelam sepenuhnya dua hari sebelum hari pengundian.

Di Kepulauan Borneo juga, proses mengundi di 11 pusat pengundian di Parlimen Baram di Sarawak digantung pada hari pengundian 19 November lalu berikutan cuaca buruk menyebabkan petugas tidak dapat tiba ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.

Turut dilanda banjir empat pusat pengundian bagi PRU15 di utara Sarawak iaitu di bahagian Limbang dan Miri, namun proses pengundian diteruskan apabila pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Terdahulu, tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mengadakan persediaan banjir yang dakwanya berlaku pada hari PRU15.

Media turut melaporkan seramai 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15.

Antara alasan yang dikemukakan adalah mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula dengan banjir dijangka melanda beberapa negeri di Malaysia, terutama di Pantai Timur.

Author

Pilihan Editor