HomeGlobalAS naikkan kadar faedah kali ketujuh tahun ini, tertinggi dalam tempoh 15...

AS naikkan kadar faedah kali ketujuh tahun ini, tertinggi dalam tempoh 15 tahun

WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah utamanya untuk kali ketujuh tahun ini bagi memerangi inflasi sekali gus menandakan lebih banyak kenaikan akan datang.

Fed meningkatkan kadar penanda arasnya setengah mata kepada julat 4.25 peratus hingga 4.5 peratus, paras tertingginya dalam tempoh 15 tahun.

Walaupun lebih rendah daripada kenaikan tiga suku mata sebelumnya, langkah terbaharu itu akan meningkatkan lagi kos pinjaman pengguna dan perniagaan serta risiko kemelesetan.

Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, data inflasi pada Oktober dan November menunjukkan pengurangan.

Penggubal dasar Fed meramalkan pertumbuhan yang lebih perlahan dan pengangguran yang lebih tinggi untuk tahun depan dan 2024.

Kadar pengangguran dijangka melonjak kepada 4.6 peratus menjelang akhir 2023 daripada 3.7 peratus hari ini.

Ia menandakan peningkatan ketara dalam pengangguran yang biasanya akan mencerminkan kemelesetan.

Selaras dengan kelembapan mendadak, para pegawai Fed juga mengunjurkan ekonomi hampir tidak akan berkembang tahun depan, iaitu berkembang hanya 0.5 peratus, kurang daripada separuh ramalan yang telah dibuat pada bulan September.

Secara kumulatif, kenaikan Fed telah membawa kepada kadar pinjaman yang lebih mahal untuk pengguna serta syarikat, lapor Astro Awani.

Author

Pilihan Editor