HomeBeritaKPM akan aktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan

KPM akan aktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Menurutnya, ini adalah bagi memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang berkaitan.

“Saya akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

“Dengan adanya majlis ini, kita berharap akan menyumbang kepada pandangan, kerangka, idea yang boleh membawa kementerian dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

“Majlis penasihat ini juga akan bertanggungjawab memikirkan kesinambungan pelan pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya dalam Sidang Media Khas KPM pada Khamis.

Terdahulu dalam kenyataan sama, beliau berkata terdapat beberapa aspek penambahbaikan daripada proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan yang perlu dilaksanakan.

Jelasnya, setiap perkara yang akan diputuskan KPM perlu diteliti dan dikaji secara berhemah, dan budaya ini akan terus menjadi budaya kementerian tersebut.

“Sehubungan dengan itu, KPM akan meneruskan dasar-dasar sedia ada dan pada masa yang sama, menambah baik proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.

“Justeru itu saya akan mengambil langkah pendekatan melalui proses konsultasi atau musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor