CYBERJAYA: Perjumpaan di antara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah demi membincangkan masa depan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) negara.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah berkongsikan mengenai perjumpaan itu di media sosialnya pada Jumaat di mana mereka berkongsikan idea dan pandangan berkenaan KBS.
“Perjumpaan bersama Khairy Jamaluddin untuk mendengar idea, pandangan dan pengalaman beliau semasa di KBS Malaysia. Terima kasih kerana meluangkan masa. Saya percaya kepada kepimpinan inklusif terutamanya untuk portfolio seperti belia dan sukan,” katanya.
Untuk rekod, Khairy merupakan Menteri Belia dan Sukan dari Mei 2013 hingga Mei 2018 ketika Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perjumpaan Hannah dan Khairy itu menarik perhatian ramai warga maya di mana ramai yang memuji usaha menteri baharu itu.
“YB Hannah sentiasa menetapkan piawaian baru dan cara melakukan sesuatu, di mana, mungkin, tiada ahli politik pernah melakukannya sebelum ini. Kepimpinan yang benar dan yang lain harus mencontohi.
“Hanya akan baik dan memberi manfaat kepada negara. Teruskan usaha YB Hannah. Anda sentiasa mendapat penghormatan daripada saya,” ujar pengguna Twitter, @BenAggerReina.
“Sudah berlalu ketika politik hanya berkisarkan parti. Kita semua harus bekerjasama demi negara. Seronok melihat lebih banyak contoh pemimpin yang mengutamakan negara dan rakyat. Syabas kepada kamu berdua,” ujar pengguna Twitter, @johanirwan pula.