HomeBeritaBot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia

Bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia

PELABUHAN KLANG: Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kerana melanggar syarat sah lesen.

Maritim Malaysia berkata, penahanan yang dilakukan di sekitar perairan Sungai Besar pada jam 8.01 pagi pada Jumaat dalam Op Ehsan dan Op Benteng Laut itu adalah kerana bot tersebut menggajikan kru warga asing.

Menurutnya, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam memaklumkan, bot itu ditahan ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya Sungai Besar oleh bot peronda Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh dua warga tempatan dan dua warga asing berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa.

“Bot bersama kesemua kru nelayan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

Maritim Malaysia turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor