HomeGaya HidupButik RR Flagship Store untuk semua - Rizman Ruzaini

Butik RR Flagship Store untuk semua – Rizman Ruzaini

KUALA LUMPUR: Jenama pereka fesyen popular, Rizman Ruzaini (RR) terus melebarkan sayap perniagaan dengan memastikan setiap golongan mampu menikmati rekaan eksklusif mereka.

Demi memberikan kepuasan maksimum kepada peminat RR, Rizman mengumumkan segmen baharu perniagaan, Butik RR Flagship Store bertempat di Four Seasons Place, Kuala Lumpur.

Butik RR Flagship Store itu diilhamkan daripada konsep produk dalam talian dan direalisasikan kepada sebuah perniagaan secara fizikal, di mana pelanggan boleh melihat dan menyentuh sendiri kualiti produk sebelum membeli.

Jelas Rizman, meskipun mengakui perniagaan secara dalam talian lebih efisien, namun beliau optimis bahawa Butik RR FlagShip Store itu mampu memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan ketika membeli-belah.

“Jika dahulu RR hanya ditawarkan dalam talian, tetapi dengan pembukaan butik RR FlagShip Store pelanggan akan dapat pengalaman berbeza. Kali ini mereka boleh melihat atau merasai sendiri kualiti produk kami sebelum membeli.

“Kita tahu ada yang selesa berurusan dalam talian, tetapi tidak boleh meminggirkan pelanggan yang mahu menikmati suasana membeli-belah di butik. Jadi di Butik RR FlagShip Store kita akan sediakan barangan yang sama cuma dengan pendekatan jualan yang berbeza.

“Di sini pelanggan boleh mencuba dahulu sebelum buat keputusan, dengan keluasan 2,300 kaki persegi butik ini cukup selesa untuk dikunjungi.

“Paling penting lokasi Butik RR FlagShip Store juga cukup sinonim dengan rakyat Malaysia, bersebelahan KLCC sahaja, jadi saya yakin lokasi ini sangat strategik dalam mengambil kira kemudahan untuk akses,” kata Rizman kepada media.

Uyaina Arshad

Rizman berkata, menjadi impiannya untuk melihat jenama RR dimiliki semua golongan dan sesiapa sahaja mampu mengayakan RR, secara tidak langsung dapat memasarkan produk secara besar-besaran.

Katanya, jenama asal Rizman Ruzaini hanya memberi fokus kepada pakaian yang lebih eksklusif antaranya pakaian pengantin dan kepada golongan yang lebih teliti dengan fabrik dan rekaan.

“Sebab itu dalam perniagaan perlu ada strategi dan dalam Rizman Ruzaini sendiri kami membahagikan produk kami untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Pengkhususan dua jenama akan nampak lebih jelas dan teratur apabila Rizman Ruzaini akan terus diterajui pereka Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil berada pada taraf lebih ekslusif manakala RR akan dikelola Yana Baharudin akan tersedia untuk pasaran semasa,” katanya.

Yakin dengan kemampuan Pengarah Kreatif segmen perniagaan RR, Yana, Rizman berkata, pemilihan ikon fesyen itu dalam membantu perniagaan mereka adalah tepat pada waktunya.

“Perkembangan perniagaan kami terlalu cepat, jadi untuk memastikan kami tidak ketinggalan, Yana dilihat sebagai individu yang tepat dalam membuat keputusan untuk jenama RR.

“Bagi saya dan Ruzaini pula kami akan memberi fokus kepada rekaan produk RR selain segmen berbeza dalam perniagaan kami.

“Kita tahu semua produk RR termasuk pakaian, tudung dan aksesori terkenal melalui kualiti dan harga mampu milik. Jadi kami tidak mahu campur adukkan segmen perniagaan sedia ada, tentunya pelantikan Yana akan memberi sumbangan yang besar kepada perniagaan ini,” jelasnya.

Ini berikutan katanya, melihat potensi perniagaan ini untuk terus berkembang sekali gus bersaing dengan jenama fesyen antarabangsa, Rizman berkata pembaharuan demi pembaharuan dilakukan demi memastikan empayar perniagaan ini kekal relevan.

Tidak menyangka jenama RR kini menjadi fenomena dunia fesyen negara, tambah Rizman walaupun produk di bawah jenama ini hampir semuanya berada dalam kategori ‘ready to wear’ (RTW) namun pihaknya tidak pernah berkompromi soal kualiti yang menjadi nadi utama perniagaan Rizman Ruzaini sejak dahulu lagi.

Hampir 18 tahun mengemudi industri fesyen di negara ini, ternyata jenama Rizman Ruzaini tidak lagi asing dalam kalangan penggemar fesyen. Malah sehingga kini,  bukan sahaja pakaian tetapi juga perniagaan yang dipelopori dua insan berbakat Rizman dan Ruzaini ini juga semakin lengkap dengan produk penampilan lain  termasuk aksesori dan haruman.

Sempena pembukaan Butik RR FlagShip Store, RR kini juga turut menawarkan potongan harga besar-besaran dalam menghargai pelanggan setia mereka.

RR RTW Fall Winter 2022

Sementara itu, Rizman turut mengumumkan pelancaran koleksi RR RTW Musim Luruh/Sejuk 2022 dengan membaws inspirasi wanita suka mengembara.

Katanya, koleksi kali ini juga turut memberi perhatian kepada rekaan ringkas dan selain penggunaan warna hitam dan putih sebagai warna asas.

“Menggunakan bentuk silhouette yang ringkas yang berkonsepkan ‘clean cut looks’ rekaan RR untuk koleksi ini juga menggunakan fabrik moden untuk menjadikannya lebih menyerlah.

“Lebih istimewa koleksi kali ini juga turut memperkenalkan bag material tweed. Hadir dalam tiga warna utama, hitam, kelabu dan pink setiap bag ini juga turut didatangkan dengan tiga skarf yang akan menjadi pelengkap kepada penampilan si pemakai,” katanya.

Author

Pilihan Editor