HomeBeritaCaprice terkejut, tidak dimaklumkan penyelesaian cara baik

Caprice terkejut, tidak dimaklumkan penyelesaian cara baik

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan aktivis, Caprice terkejut laporan media bahawa beliau diarah untuk memaklumkan Mahkamah Sesyen sama ada setuju selesai cara baik isu saman fitnah oleh Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal.

Saman berkenaan difailkan SM Faisal terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, pada 15 Ogos lalu, yang mendakwa defendan (Caprice) memuat naik hantaran fitnah di Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

Kes itu perlu diselesaikan secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Oktober 2023 di Mahkamah Sesyen di sini.

Caprice berkata, dia tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya dan akan menyemak dengan peguamnya terlebih.

“It seems they are more up to date than me.

“Aneh berita sekarang, tetapi baguslah jika mereka hendak selesai cara baik.

“Biar saya semak dahulu dengan peguam, saya belum dimaklumkan apa-apa,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Terdahulu, peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata< jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Oktober tahun depan untuk mendengar kes berkenaan.

“Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

SM Faisal menyaman Ariz selaku defendan pada 15 Ogos lepas berhubung dakwaan memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

SM Faisal mendakwa pada 28 Jun, Ariz memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.

Author

Pilihan Editor