HomeGaya HidupDr Wincci umum buat 'comeback' dunia seni tahun depan

Dr Wincci umum buat ‘comeback’ dunia seni tahun depan

SUBANG JAYA: Mantan Ratu Cantik Malaysia, Dr Soo Wincci mengesahkan beliau akan kembali bergiat aktif dalam dunia seni, tahun depan selepas ‘menyepikan diri’ beberapa tahun kebelakangan ini.

Penyanyi, pelakon dan pengacara itu berkata, tahun hadapan akan menjadi tempoh paling sibuk baginya kerana perlu memenuhi tuntutan beberapa slot drama dan menghasilkan lagu baharu dan pada masa yang sama berkhidmat sebagai pendidik.

“Saya akan menjadi juri dalam program Astro akan datang, selain sebagai produser sebuah filem.

“Saya juga akan membawa watak dalam pelbagai drama dan masih akan menghasilkan lagu.

“Jadi, ‘next year will be my comeback year’ (tahun depan saya akan kembali aktif dalam bidang seni),” katanya mengumumkan perkara itu selepas berkongsi perkembangan terbaharunya dalam bidang seni dengan pihak media, malam tadi.

Terdahulu, Wincci menerima Anugerah Best Intelligent Figure pada Majlis Perasmian Tokoh Pintar Terbaik 2022 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan China Press, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Turut hadir, Presiden MTPN, Datuk Paduka Dr Kevy Yeo dan barisan anggota MTPN; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan KSM, Abdul Razak Junaidi; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam Putrajaya, Muazam Mokhtar; dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Selangor, Nurul Azhar Husin.

Wincci yang cukup dikenali sebagai seorang mempunyai semangat juang tinggi, beliau tidak pernah duduk berdiam, sebaliknya menyibukkan diri sehingga tidak menang tangan memenuhi tuntutan jadual.

Wincci berkata, sejak bergelar pendidik, dia kurang muncul di kaca televisyen (TV) berikutan rutin jadual hariannya kini sangat padat dengan program.pendidikan berbanding sebagai pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) sebelum itu.

“Anda tak nampak saya di kaca TV sebab saya sibuk mengajar di Kementerian Pendidikan, berkhidmat dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Jadual saya memang padat. Jika dulu tak ada masa untuk tidur sebab PhD, sekarang langsung tak ada sebab kena berkhidmat bukan sahaja di kaca TV, terapi program pendidikan juga,” kata pemegang sekurang-kurangnya tiga ijazah dan satu PhD itu.

Untuk rekod, mantan peserta program Masterchef Selebriti Malaysia itu pernah mencipta sejarah Malaysia Book Of Records menerusi pengiktirafan Miss World Malaysia Pertama Lulus PhD.

Author

Pilihan Editor