HomeBeritaFKMM serah memorandum gesa kaji semula CPTPP kepada Mat Sabu

FKMM serah memorandum gesa kaji semula CPTPP kepada Mat Sabu

PUTRAJAYA: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menyerahkan satu memorandum menyatakan kebimbangan terhadap Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Memorandum tersebut diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu di Bangunan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Khamis.

Ketua Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, memorandum yang disokong oleh 54 pertubuhan itu menggesa kerajaan mengkaji semula CPTPP secara terperinci.

Menurutnya, memorandum ini dibuat bagi membuat permohonan kepada kerajaan mengambil kira tentang kesan CPTPP kepada industri pertanian dan juga hak-hak petani.

“Yang pertamanya adalah untuk supaya kementerian menjalankan penilaian dan kajian yang lebih terperinci terhadap perkara-perkara yang akan kita sebutkan.

“Kerana sejak perdebatan berkenaan CPTPP ini keluar, tidak ada satu pun kenyataan atau pendirian yang dikeluarkan kementerian berkenaan apa dia sebenarnya kesan CPTPP kepada hak petani dan juga industri ini secara keseluruhannya.

“Jadi kita gariskan di sini secara ringkasnya ada enam perkara, perkara yang paling utama sekali saya rasa yang tidak boleh dicabar adalah berkenaan dengan hak petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih,” katanya.

Jelas Nurfitri, CPTPP menafikan hak tradisi petani ini untuk berkongsi dan menjual benih secara bebas kerana mewajibkan mereka untuk menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV) 1991.

Katanya, UPOV 1991 adalah sebuah konvensyen yang memberi hak monopoli kepada pembiak baka bermaksud petani tidak boleh lagi dengan mudah untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih.

“Yang kedua adalah berkenaan nelayan. Jadi dalam CPTPP ini, secara ringkasnya nelayan dilarang untuk menangkap spesies-spesies ikan yang dikategorikan sebagai terancam dan yang berkurangan, yang terlalu banyak ditangkap.

“Walaupun objektifnya adalah untuk melindungi alam sekitar tetapi tidak ada pengecualian yang diberikan kepada nelayan pantai dan nelayan kecil sedangkan punca kepada kepupusan ikan adalah berkenaan dengan bot-bot tunda dan juga pencemaran alam,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor