HomeMV+BongkarPengamal media dedah isteri, rakan disihir wakil calon PRU15

Pengamal media dedah isteri, rakan disihir wakil calon PRU15

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu di sebalik hebatnya artikel yang ditulis, pengamal media turut berhadapan cabaran mendapatkan berita khususnya wanita.

Diugut, diikuti dan lain-lain perkara fizikal sudah biasa kita dengar tetapi yang luar biasa adalah berkait sihir dan mistik.

Seorang pengamal media menceritakan pengalaman isterinya dan wartawan wanita lain yang mendakwa disihir dipercayai oleh wakil calon ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sebuah daerah.

Ketika kejadian, isterinya yang juga seorang wartawan bersama rakan wartawan itu sedang menemu bual wakil calon berkenaan.

“Wakil calon itu meminta isteri saya menghulurkan kedua tangannya dan minta fokus kepada matanya (wakil calon) itu.

“Ibarat dipukau, isteri saya berbuat demikian manakala rakannya pula diminta berdiri, berjalan pusing-pusing dan selepas itu pulang ke rumah kami,” katanya.

Menurutnya, sejak itu isteri dan rakannya tidak keruan teringat-ingat wakil calon berkenaan malah wakil calon itu dengan berani datang ke rumahnya kerana menyangka dia tiada di rumah.

“Ketika dia hadir, saya tegur hajatnya lantas dia pulang.

“Isteri dan rakannya mendakwa tidak boleh melupakan lelaki berkenaan, bayangkan betapa terganggunya mereka,” katanya.

Dia berkata, isteri dan rakannya terpaksa menjalani rawatan perubatan Islam di Perak dan mendakwa sahih mereka disihir.

“Bayangkan apa perasaan saya sebagai suami dalam mencari rezeki halal bersama isteri dan perkara ini berlaku ke atas kami,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah pengamal media berkenaan, dia berhadapan sendiri dengan wakil calon itu dan mengejutkan dia mengakui ada menghantar sihir terhadap isterinya.

“Dia mengakui perbuatannya sebagai ‘test power’ dan suka-suka sahaja.

“Saya amat terkejut dan minta dia bertaubat.

“Saya tidak pernah percaya mengenai sihir tetapi apabila ia berlaku ke atas saya dan isteri, ia mengubah pandangan kami.

“Itulah antara cabaran yang kami lalui sebagai pengamal media dalam dunia yang kita tidak tahu hitam putihnya, kita bersangka baik tapi dalam hati orang kita tidak tahu, ” katanya.

Ustaz Azmi menceritakan pengalaman membantu orang ramai yang disihir dalam alaf moden.

Pengamal media itu turut mendapatkan rawatan memulihkan kesan sihir ke atas dirinya di Teras 99 Terapi Aura Sunnah 99 di bawah kendalian Ustaz Nik Azmi di Batu Caves.

Pusat rawatan itu turut menyediakan rawatan “mengimbas melihat punca sakit”, urutan saraf, bekam dan akupuntur serta mengenali potensi aura diri.

Sementara itu, jelas pengamal media itu selepas 14 hari jalani rawatan dia dan isterinya sudah pulih dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

IKUTI SIRI BONGKAR ISU SIHIR DI ALAF MODEN DI MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor