HomeBeritaHapuskan lantikan politik dalam GLC

Hapuskan lantikan politik dalam GLC

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-10, digesa untuk menghapuskan lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Hal ini kerana, isu berkenaan bukan perkara baharu berikutan wujud penyalahgunaan kuasa politik yang didakwa sudah menjadi kebiasaan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Fazril Mohd Salleh berkata, lantikan jawatan sepatutnya berdasarkan kepada prinsip kredibiliti, berkebolehan, berkompetensi, mempunyai ketrampilan yang unggul, cekap, dan kesesuaian di posisi itu.

Katanya, berdasarkan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak mahu memberi ganjaran kepada ‘tuan politik’ dalam isu pelantikan Kabinet, perkara sama harus dilaksanakan dalam isu berkenaan.

“Kegusaran rakyat adalah apabila ahli politik mengharapkan habuan jawatan untuk memberikan sokongan, apakah Perdana Menteri akan berdepan dengan penarikan sokongan selepas ini apabila kelompok-kelompok tertentu tidak dilantik dalam Kabinet atau GLC atau agensi? Rakyat tak mahu lagi peristiwa ‘Langkah Sheraton’ berulang.

“Oleh itu, ahli politik mestilah ada kesedaran dan kefahaman, mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi dan kelompok parti,” katanya kepada media.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel turut senada dengan Muhammad Fazril.

“Ya,” jawabnya ringkas.

Rata-rata bersetuju bahawa GLC perlu disandang individu yang berkemampuan dalam ilmu pengurusan sesebuah korporat.

Author

Pilihan Editor