HomeBeritaProgram pemberian tuala wanita percuma Selangor sasar bantu golongan susah

Program pemberian tuala wanita percuma Selangor sasar bantu golongan susah

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menegaskan isu kemiskinan haid bukanlah isu baharu.

Katanya, akibat rasa malu dan stigma masyarakat yang menganggap perkara tersebut sesuatu yang ‘taboo’, maka isu ini jarang sekali dibincangkan.

“Kemiskinan haid adalah situasi apabila individu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tuala wanita atau pad akibat kekangan kewangan.

“Ia juga merujuk kepada kekurangan kemudahan sanitasi untuk menguruskan haid seperti ketiadaan bekalan air bersih atau tiada tempat pelupusan sampah tuala wanita yang sesuai,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan Selangor 2023 di Dewan Negeri Selangor pada Rabu.

Terdahulu, Juwairiya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor kerana menjadi negeri pertama memperkenalkan program pemberian tuala wanita percuma.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM200,000 diperuntukkan bagi memberdaya kaum wanita termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2023.

Juwariya turut mengetengahkan golongan berisiko menghadapi masalah kemiskinan haid yang perlu dibantu melalui program ini.

“Golongan yang berisiko termasuklah wanita di luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar.

“Bagi pelajar pula, ketiadaan tuala wanita atau tuala wanita yang tidak mencukupi boleh membataskan pergerakan dan aktiviti di sekolah.

“Sekaligus menjejaskan fokus pembelajaran dalam bilik darjah yang mana akhirnya mereka mungkin memilih untuk tidak hadir ke sekolah bagi satu tempoh masa ketika haid dan ini menyebabkan salah satu faktor keciciran pelajar,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, hasil kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke atas golongan B40 mendapati 13.1 peratus tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal manakala 16.4 peratus pula mengalami kesulitan membeli produk pengurusan haid.

Hasil kajian tersebut dijalankan di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan remaja dan wanita berusia 13 hingga 24 tahun.

Author

Pilihan Editor