NEW YORK: Harga minyak mentah meningkat pada Rabu selepas data menunjukkan penurunan ketara jumlah simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
West Texas Intermediate bagi penghantaran Februari menokok AS$2.06 atau 2.7 peratus kepada AS$78.29 setong di New York Mercantile Exchange. Minyak mentah Brent bagi penghantaran Februari meningkat AS$2.21 atau hampir 2.8 peratus, untuk ditutup pada AS$82.2 setong di Bursa Hadapan ICE London.
Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS pada Rabu melaporkan inventori minyak mentah negara itu berkurangan sebanyak 5.9 juta tong pada minggu berakhir 16 Disember.
Penganalisis yang ditinjau oleh S&P Global Commodity Insights menjangkakan bekalan minyak mentah AS akan meningkat sebanyak 0.6 juta tong.
Menurut EIA, jumlah inventori gasolin motor meningkat 2.5 juta tong minggu lepas manakala inventori bahan api sulingan susut 0.2 juta tong. – BERNAMA