HomeBeritaPerkenalkan modul 'Sekolah Parlimen', elak persidangan jadi sarkas

Perkenalkan modul ‘Sekolah Parlimen’, elak persidangan jadi sarkas

CYBERJAYA: Modul Sekolah Parlimen wajar diperkenalkan bagi memberi pendedahan sebenar kepada suasana perjalanan urusan sidang Dewan Rakyat sekali gus mengelakkan Parlimen menjadi gelanggang sarkas.

Pengarah Strategik Forward Malaysia Research Centre, Jazlie Baharudin berkata, modul sedemikian wajar dipertimbangkan bagi mengelak kejadian provokasi yang berlaku di Parlimen baru-baru ini tidak berulang.

Katanya, pendekatan modul berkenaan bukanlah untuk merendahkan martabat dan kedudukan wakil rakyat sebaliknya bagi memberikan pendedahan sebenar kepada suasana dan dinamik sebenar di dalam Dewan.

“New Zealand antara negara yang memperkenalkan sekolah Parlimen dalam memastikan lebih 35 ahli Parlimen baharu negara itu dapat memahami disiplin dan kaedah sebenar dalam melaksanakan urusan di Parlimen.

“Langkah pentadbiran Parlimen negara itu mengadakan kursus khas termasuk memanggil kalangan bekas ahli Parlimen memberikan nasihat, pandangan dan petua dalam mengendalikan urusan penggubalan undang-undang wajar dicontohi oleh Parlimen Malaysia,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini kecoh apabila segelintir wakil rakyat mempertikaikan pembentangan usul percaya kepada Perdana Menteri yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pertikaian yang berlarutan sehingga sesi perbahasan usul itu turut menyaksikan beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang masing-masing mengeluarkan perkataan seperti ‘bodoh’, ‘beruk’ serta ‘penyamun’.

Lantaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegur ahli-ahli Parlimen supaya kekal menjaga adab dan susila masing-masing serta tidak melanggar batas peraturan yang ditetapkan semasa persidangan Dewan Rakyat dan tidak dijadikan sebagai tempat sarkas.

Author

Pilihan Editor