HomeTeknologiPelaksanaan rangkaian 5G DNB antara yang terpantas di dunia

Pelaksanaan rangkaian 5G DNB antara yang terpantas di dunia

CYBERJAYA: Pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) tercapai lebih awal dari yang dijadualkan dan akan menjangkau 40 peratus ‘liputan di kawasan berpenduduk’ (COPA) di seluruh negara menjelang Disember 2022.

Perkara tersebut diumumkan DNB dalam satu kenyataan pada Isnin, katanya DNB berada di landasan untuk mencapai komitmen 80 peratus COPA pada 2024 atau lebih cepat.

Menurut DNB, rangkaian tersebut akan mencapai 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

“40 peratus COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini. Pengurangan kiraan tapak tersebut adalah berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.

“Sebahagian besar masalah ini telah pun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang.

“Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya,” kata DNB.

Untuk rekod, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.

Malah, rangkaian tersebut juga telah meliputi sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro turut mengesahkan kepantasan pelaksanaan 5G oleh DNB itu.

“Pelaksanaan rangkaian 5G untuk DNB adalah antara yang terpantas di dunia kerana pelaksanaannya baru saja dimulakan pada Oktober 2021,” kata David.

Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed pula menguatkan keyakinannya bahawa 80 peratus COPA akan dicapai dalam 18 bulan akan datang.

“Atas dasar permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan yang diterima untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian, kami yakin 80 peratus COPA bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang,” kata Nasution.

DNB turut menyatakan bahawa lima daripada enam MNO Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia telah mula menyediakan perkhidmatan 5G secara runcit kepada pengguna.

Jelasnya, MNO tersebut secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan.

“Lima MNO itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

“MNO itu telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.

“Walau bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023,” kata DNB lagi.

Author

Pilihan Editor