GENEVA: Perkhidmatan bas elektrik tanpa pemandu 24 jam akan mula dilaksanakan di Geneva, Switzerland mulai 2025, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Khamis.
Perbadanan Penyiaran Swiss, Swissinfo.com, melaporkan Geneva telah dipilih sebagai satu daripada tiga bandar raya untuk melaksanakan perkhidmatan bas awam tanpa pemandu itu sebagai sebahagian inisiatif mobiliti Horizon Europe ULTIMO.
Selain Geneva dua lagi bandar raya yang dipilih ialah Kronach (Jerman) dan Oslo (Norway). Sebanyak 45 kenderaan akan digunakan dengan 15 buah di Geneva.
“ULTIMO akan memberi tumpuan kepada isu seperti bagaimana memastikan keselamatan penumpang, contohnya jika berlaku kemalangan atau sebarang masalah, ULTIMO akan mengambil langkah yang sewajarnya. ULTIMO juga akan melihat daripada aspek harga, jarak minimum dan maksimum untuk bas, destinasi dan rangka kerja undang-undang,” kata
“Dengan menawarkan perkhidmatan 24 jam dari pintu ke pintu, perkhidmatan itu akan menjadi lebih berkualiti. Ia juga akan memastikan tiada perjalanan tanpa penumpang terutama di luar waktu puncak dengan itu ia dapat mengurangkan beberapa kos. Akhirnya, masalah kelewatan, beratur panjang dan kesesakan di stesen boleh dielakkan,” menurut laporan Swissinfo.com. – BERNAMA