BATANG KALI: Memasuki hari kelapan, misi pencarian mangsa terakhir yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm masih diteruskan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa terakhir itu merupakan seorang kanak-kanak lelaki iaitu, Huang Shaoqi yang berusia 11 tahun, lapor Sin Chew Daily.
Dalam laporan sama, didapati murid Darjah 5 itu merupakan anak kepada pengusaha kantin di SJKC Mun Choong dan sehingga jam 12 tengah hari ini, pasukan SAR masih belum menemuinya.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menyatakan jumlah keseluruhan mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah 92 orang dan bukannya 94 orang seperti dilaporkan sebelum ini.
Jelasnya, berlaku kekeliruan mengenai jumlah mangsa pada awalnya dan hasil semakan baharu pihaknya mengesahkan jumlah sebenar adalah 92 orang.
“Jumlah yang rasmi adalah 92 orang, kurang dua orang. Berdasarkan jumlah tersebut, yang telah kita jumpa meninggal dunia 30 orang, yang terselamat 61 dan yang kita belum jumpa lagi maknanya satu sahaja,” katanya dalam sidang media pada Khamis.