HomeBeritaKKM sahkan 94 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali

KKM sahkan 94 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja tapak perkhemahan dilaporkan terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Genting Highland – Batang Kali, setakat jam 1.30 petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 84 mangsa telah ditemui manakala 10 lagi masih dalam operasi pencarian.

“Sebanyak 54 mangsa mengalami kecederaan ringan, lapan (mangsa mengalami kecederaan separa kritikal dan kritikal, serta sebanyak 23 kematian telah dilaporkan yang terdiri daripada 13 wanita dewasa, empat lelaki dewasa, lima kanak-kanak lelaki, dan satu kanak-kanak perempuan.

“Seramai lapan mangsa yang mengalami kecederaan separa kritikal dan kritikal telah dirujuk ke hospital pada 16 Disember 2022 untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat mangsa dirujuk ke Hospital Selayang, tiga mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan seorang mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur,” maklumnya menerusi hantaran Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa yang dirujuk ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama setelah menjalani pemeriksaan dan penilaian status kesihatan, dengan salah seorang mangsa telah diberikan surat rujukan untuk rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melaporkan sehingga jam 4.05 petang hari ini, jumlah mangsa terkorban meningkat kepada 24 orang.

“Jumlah anggota keseluruhan yang terlibat dengan operasi tanah runtuh dianggarkan seramai 128 orang.
“Maklumat kejadian akan dikemaskini dari masa ke semasa,” maklum JBPM dalam hantaran rasminya di Facebook Korporat JBPM pada Sabtu.

Author

Pilihan Editor