HomeBeritaKurang pemantauan PBT sebab rasuah?

Kurang pemantauan PBT sebab rasuah?

KUALA LUMPUR: Rakyat sering didedahkan dengan laporan berita kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan agensi dan jabatan bertanggungjawab, namun belum mampu meningkatkan tahap keyakinan ekoran beberapa insiden kebelakangan ini.

Dua tragedi dalam seminggu, berlaku minggu ini di tapak pesta ria di Eco Grandeur, Shah Alam, malam Isnin lalu manakala kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Batang Kali, mendedahkan, masing-masing menyediakan perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar juga tampil memberi ulasan termasuk mempertikaikan pihak berkuasa membiarkan pihak pembangunan membuka kawasan seperti di lereng bukit sesuka hati.

Amlir Ayat

Naib Presiden EcoKnights, Amlir Ayat berkata, kurang pemantauan, kelemahan pelaksanaan perundangan dan isu teknikal tenaga kerja dipercayai menyumbangkan dalam tragedi berkenaan.

Mengulas mengenai tragedi tanah runtuh itu, Amlir berkata, secara umum, ada pelbagai faktor menjadi penyumbang kepada berlaku keadaan itu.

“Selain daripada rasuah dan kelemahan ketegasan, ada beberapa kemungkinan lain.

“Ini termasuklah kekurangan tenaga kerja untuk pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan, serta isu teknikal perundangan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Prof Dr Ahmad Ismail

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof Dr Ahmad Ismail pula berkata, permintaan aktiviti rekreasi berkaitan alam semula semakin giat bertambah.

Katanya, sebelum kejadian, sejak mula pembangunan, operasi dan penyelenggaraan jarang dibincangkan dengan baik.

“Penglibatan penduduk juga jarang kita bincang kecuali selepas bencana. Sedangkan dalam jawatankuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ada melibatkan penduduk tempatan.

“Semua penerangan saintifik tentang hujan lebat, air bertakung banyak, tanah dekat lereng tak mampu menampung, air menyebabkan tanah longgar, graviti, rekaan lereng, semua alasan selepas kejadian.

“PBT sepatutnya perlu mempunyai data lengkap tentang semua aktiviti di kawasan masing-masing dan sentiasa memantau agar semua guna tanah, pembangunan dan aktiviti mengikut peraturan yg ada untuk kepentingan masyarakat.

“Masyarakat setempat juga perlu peka dengan aktiviti kejiranan dan melaporkan apa yg meragukan tidak mengikut peraturan, pengunjung mesti melihat kepada faktor keselamatan,” katanya.

Shariffa Sabrina

Aktivis alam sekitar, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Ali dilaporkan berkata, beliau mengingatkan supaya semua pihak tidak menyalahkan rakyat yang pergi berkhemah di kawasan lereng bukit.

Mantan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) itu berkata, sepatutnya premis tidak dibenarkan lagi menjalankan apa-apa aktiviti menjalankan pembangunan daripada 400 meter aras laut.

“Daripada tidak membenarkan kita pergi berkhemah, kenapa pihak berkuasa, kerajaan tidak membekukan lesen-lesen pembukaan hutan, tidak membekukan lesen-lesen pembalakan atau tidak membekukan pembangunan di lereng-lereng bukit,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini berkata, semakan mendapati tiga tapak perkhemahan dimiliki sebuah syarikat di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini, yang terbabit dalam insiden tanah runtuh, awal pagi tadi, didapati beroperasi tanpa lesen.

Sebaliknya, katanya, syarikat itu hanya memohon lesen bagi membangunkan ladang organik di kawasan berkenaan, dan beroperasi sejak 2020 lagi dan tiada permohonan untuk menjalankan aktiviti perkhemahan dibuat kepada pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Author

Pilihan Editor