HomeBeritaLawatan kerja: Anwar 'pekena' murtabak di Kg Melayu Majidee

Lawatan kerja: Anwar ‘pekena’ murtabak di Kg Melayu Majidee

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari di Murtabak Kampung Melayu Majidee, hari ini.

Menerusi lawatan kerja ke Johor itu, Anwar dilaporkan meluangkan masa hampir setengah jam menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat.

Kehadiran Anwar turut ditemani oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, lapor Berita Harian.

Pada masa sama, Anwar turut menandatangani semula plak perasmian masjid yang terletak kira-kira 40 meter dari kedai makan berkenaan.

Menurut laporan media, Anwar pernah merasmikan pembukaan masjid terbabit pada 21 April 1995 ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kehadiran Anwar ke Johor hari ini merupakan kunjungan pertama beliau sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan kemudian menyertai ribuan jemaah di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat, selain beramah mesra dengan orang ramai.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu memulakan lawatan kerja ke Johor dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Bukit Serene, pagi tadi.

Author

Pilihan Editor