HomeMV+BongkarPerawat alternatif dedah 90 peratus wanita disihir

Perawat alternatif dedah 90 peratus wanita disihir

GOMBAK: Perawat kaedah alternatif, Nik Azmi mendedahkan hampir 90 peratus pesakitnya adalah golongan wanita sama ada bujang, isteri atau ibu tunggal.

Mantan jurutera itu berkata, sepanjang pengalamannya sebagai perawat hampir 20 tahun, wanita yang tampil mendapatkan rawatan dengannya biasanya mereka yang terlalu sibuk dengan kerja harian sehingga hampir terlupa untuk memberi tenaga kepada ‘roh’ jasad dan menyebabkan mudah disihir.

Nik Azmi

“Sepanjang tempoh itu, majoriti atau 90 peratus pesakit yang kena sihir adalah golongan hawa.

“Wanita zaman sekarang, sibuk mencari nafkah membantu keluarga. Kurang berzikir atau mengingati Penciptanya, emosi kurang stabil, letih, jadi sihir waktu senang hadir masuk dalam badan.

“Tambahan pula penyakit ain semakin banyak sejajar media sosial hari ini, kita muat naik wajah kita yang cantik, pasangan bahagia, kemewahan kita tanpa sedar ada yang cemburu, ramai juga pempengaruh dan selebriti dakwa mereka disihir.

“Simptom mereka yang terkena sihir adalah badan mudah letih, lemah, sakit seperti batuk, migrain, mudah lupa, mudah marah, cakap merapu, sakit badan berpanjangan dan lain-lain.

“Walaupun perubatan moden menolak fakta sihir ini namun ia sudah wujud sejak zaman Nabi lagi diceritakan dalam al-Quran di mana wujudnya tukang-tukang sihir, ” katanya kepada MEDIA VARIASI di kediamannya di sini.

Kaedah frekuensi memindahkan sakit yang diamalkan Nik Azmi, tidak menyentuh fizikal pesakit

Beliau yang kini sedang memenuhkan senarai portfolionya bagi tujuan mendapatkan pengiktirafan sijil Perawat Tradisional dan Komplimentari (PT&K) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia itu berkata, menyarankan supaya kaum wanita bersikap lebih berdisiplin dalam mengamalkan doa pendinding sebagai pencegahan.

“Doalah aku berlindung kepada Allah dengan ilmu yang sempurna daripada kejahatan semua makhluk tak semestinya jin, syaitan tapi manusia atau air yang tak baik. Apa pun, pencegahan lebih baik daripada mengubati.

“Kaedah saya adalah mencari punca sakit dan merawatnya dengan cara memindahkan sakit itu secara frekuensi, kita kena memahami beza antara jasad, roh dan nyawa,” kata bekas penerima biasiswa JPA untuk bidang kejuruteraan di Jepun.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan secara bersiri, seorang pengamal media lelaki mendapatkan rawatan memulihkan kesan sihir ke atas isterinya di Teras 99 Terapi Aura Sunnah 99 di bawah kendalian Nik Azmi di Batu Caves.

Berdasarkan pengalaman lelaki itu isterinya dan wartawan wanita lain juga didakwa disihir dipercayai oleh wakil calon ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Ramai yang tidak tahu di sebalik hebatnya artikel yang ditulis, pengamal media khususnya wanita turut berhadapan cabaran sama ketika mendapatkan berita.

Berdasarkan pengalaman penulis juga, beberapa wartawan wanita menjadi mangsa sihir ketika membuat liputan siri pembongkaran mendedahkan pelbagai penganiayaan, kezaliman dan rasuah.

Itulah harga pengorbanan wartawan dalam menyampaikan berita kepada masyarakat.

Pilihan Editor