CYBERJAYA: Satu majlis mengangkat sumpah Senator Dewan Negara dijadual berlangsung di Parlimen esok.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengesahkan majlis itu akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.
“Senarai embargo pagi esok. Majlis jam 8.30 pagi,” katanya di sini, pada Jumaat seperti dilapor Astro Awani hari ini.
Sementara itu, sumber Parlimen pula memberitahu, pegawai Dewan Negara telah diminta untuk melakukan persediaan bagi upacara berkenaan sejak awal pagi tadi.
“Sebab jangkaan kalau ada senator.. tetapi kami diminta bersiap sedia sahaja.
“Angkat sumpah Senator dulu (jika ada) dan selepas itu baru boleh angkat sumpah sebagai menteri Kabinet.
“Kalau ada senator diumum sebagai menteri Kabinet, individu itu memerlukan mengangkat sumpah pagi esok.
“Kami terima arahan daripada pejabat Setiausaha Dewan Negara untuk bersiap sedia kerana Majlis Angkat Sumpah ini dikendalikan oleh mereka,” kata sumber berkenaan.