HomeMV+BongkarTragedi Lubuk Merbau: Lebih rela solat di markas PAS dalam hutan

Tragedi Lubuk Merbau: Lebih rela solat di markas PAS dalam hutan

PUTRAJAYA: Pengikut PAS yang taasub kepada doktrin parti lebih rela menunaikan solat di markas di dalam hutan getah berbanding di masjid kerajaan.

Demikian kata saksi tragedi Lubuk Merbau 1985, yang juga seorang Aktivis Perpaduan, Shohimi Shafie, apabila mengenangkan kejadian 37 tahun lalu itu.

Menerusi siri kedua Tragedi Lubuk Merbau, Shohimi, 54, mendedahkan, ahli PAS masih berpegang kepada doktrin Amanat Haji Hadi yang ditampal di masjid-masjid pada tahun 1981.

“Amanat itu menyatakan wajib menentang orang UMNO yang dianggap kafir.

“Ketika itu ahli PAS hanya menunaikan solat di markas di dalam hutan getah di Felda Lubuk Merbau.

“Ahli PAS mengharamkan diri mereka daripada menggunakan masjid kerajaan kerana dibina oleh orang yang bukan satu jemaah atau berbeza doktrin.

“Mereka tak solat di masjid kerajaan tapi di hutan getah. Solat di masjid kerajaan tak boleh,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Shohimi berkata, kerana fahaman itu ia terbawa-bawa dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Terap 1985, di Padang Terap, Kedah.

MEDIA VARIASI secara eksklusif melaporkan Shohimi antara saksi tragedi Lubuk Merbau 1985 yang memberi kesan trauma kepada anak peneroka Felda Lubok Merbau itu.

Kemuncak tragedi Lubuk Merbau berlaku apabila beliau menyaksikan pergeseran antara Pemuda UMNO dengan Pemuda PAS hanya kerana kerana penyambungan tali kain rentang parti sahaja.

“Masing-masing tidak mahu kain rentang digantung dengan sambungan satu tali. Kemudian, seorang daripada PAS tendang tin ada logo BN, tetapi yang tendang itu terjatuh jadi orang UMNO gelak. Yang jatuh tadi, pergi ke kubu depa.

“Sebaik Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan balik dari kempen ceramah Balai Raya Felda Lubuk Merbau sebagai Ketua Pemuda UMNO, tiba-tiba dua tiga van masuk kampung.

“Orang-orang dalam van buka pintu, keluar bawa parang, keris, besi, masuk serang budak-budak pemuda tadi.

“Ada seorang tua yang saya kenal, ajar kawad nama dia Ismail Ali, bekas askar wataniah, dia datang nak leraikan. Dia kata jangan gaduh, tetapi saya tengok ada orang mai tikam dia dan nampak dia terjatuh. Ada yang pecah kepala, ada yang mati,” katanya seperti dilaporkan.

Sementara itu, Shohimi berkata, sentimen agama, syurga dan neraka menjadi kemestian dalam sebarang ceramah parti di kampung, dan ia dilihat berlaku di FELDA berkenaan ketika itu.

“Jika di bandar, sentimen bangsa pula menjadi polemik setiap kali berlangsung kempen mana-mana pilihan raya.

“Jadi saya melihat pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah keputusan tepat dan patut diamalkan dengan segera.

“Kerana kita tidak mahu peristiwa seperti ini, atau Memali 1985, atau 13 Mei 1969 berulang,” katanya.

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini perlu difahami dengan minda lebih terbuka dan meluas.

Hikmah titah Seri Paduka itu agar kerajaan terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah kerajaan kukuh.

Author

Pilihan Editor