HomeBeritaMayat wanita Kanada reput dalam timbunan kotak tisu

Mayat wanita Kanada reput dalam timbunan kotak tisu

PADAWAN: Seorang wanita warga Kanada ditemui meninggal dunia dengan keadaan mayat sudah mereput dan berbau di sebuah unit kediaman pangsapuri di Jalan Matang, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penemuan mayat warga emas yang ditemui pada Selasa itu dilaporkan seorang wanita tempatan.

Wanita berkenaan membuat laporan susulan terhidu bau busuk di tingkat bawah unit kediamannya sekitar jam 4 petang.

Rentetan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Batu Kawa digerakkan ke lokasi dan terpaksa mengumpil pintu depan rumah terbabit yang berkunci dari dalam.

“Sebaik saja pintu depan itu berjaya dibuka, pasukan mendapati ada timbunan kotak tisu di dalam rumah berkenaan. Mayat si mati dijumpai terbaring dalam timbunan kotak tisu yang berselerak.

“Ketika ditemui, mayat si mati sudah berulat dan bahagian muka berkeadaan tidak sempurna,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Berdasarkan maklumat daripada pengadu di lokasi kejadian, Abang Zainal Abidin berkata, wanita itu tinggal berseorangan dan dipercayai menghuni rumah itu sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Menurutnya lagi, pihak polis turut menjumpai pasport wanita itu yang dikenali sebagai Tan Onn Har, 82, dengan taraf kewarganegaraan dari Kanada.

“Pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang ke lokasi mengesahkan kematian mangsa. Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda jenayah mahupun objek tajam atau tumpul ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mayat mangsa dihantar ke bilik mayat HUS untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membantu siasatan polis.

Author

Pilihan Editor