HomeBeritaMenteri KPKT arah PBT teliti sebelum lulus lesen 'fun fair'

Menteri KPKT arah PBT teliti sebelum lulus lesen ‘fun fair’

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meneliti semua lesen pengusaha tapak pesta (fun fair) bagi memastikan keselamatan pengunjung tidak diperjudikan.

Katanya, beliau menerima maklumat daripada Yang Dipertua PBT, tapak pesta berkenaan sememangnya tidak mendapat kebenaran, maka beliau mengesyorkan tindakan tegas kepada mereka yang menganjurkan tanpa lesen atau kebenaran.

“Ini ikut undang-undang dibekalkan, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa, harap tiada lagi pihak yang cuba ambil risiko untuk anjurkan tapak pesta yang boleh bahayakan keselamatan orang awam.

“Saya arahkan semua PBT untuk teliti sebelum keluarkan lesen, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden tiga pengunjung cedera di tapak pesta Bandar Puncak Alam baru-baru ini.

Pengusaha tapak pesta yang mengakibatkan tiga orang cedera di Bandar Puncak Alam di sini dikesan masih berdegil untuk meneruskan operasinya biarpun arahan sitaan dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya menjalankan sitaan itu sejak 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan, namun, dikesan beroperasi secara haram dan turut tiada kebenaran polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Terdahulu, Kor Ming menyampaikan taklimat kesiapsiagaan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi cabaran angin Monsun Timur Laut dengan kebarangkalian banjir yang mungkin berlaku pada bila-bila masa di seluruh negara, di Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini.

Katanya, dengan kekuatan anggota JBPM seramai 14,986 pegawai sudah melakukan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, berdasarkan pengalaman peristiwa banjir yang melanda negara tahun lalu.

Langkah ini termasuk dengan mengerahkan kekuatan dan keanggotaan pegawai bomba terdiri daripada 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan.

JBPM juga telah mengenalpasti sebanyak 5,325 kawasan termasuk 4,795 lokasi banjir, 186 lokasi kepala air, dan 254 lokasi cerun kritikal.

Author

Pilihan Editor