PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka ke Kelantan bagi misi program bantuan cegah banjir dan keperluan rakyat, esok.
Turut dijangka mengiringi misi itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Kabinet sudah memutuskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah kendalian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga sedang bekerja sepenuhnya untuk kesiapsiagaan berdepan banjir kilat yang saya harap tidaklah, mungkin melanda.
“Beliau akan pergi Kelantan bersama Menteri yang bertanggungjawab (Saifuddin Nasution) dengan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).
“Untuk cegah banjir, untuk membantu rakyat bersiap sedia. Jangan fikir bukan-bukan,” katanya pada sidang media ketika diminta mengulas kunjungan Ahmad Zahid ke Kelantan untuk program cegah banjir.
Terdahulu, Kor Ming menyampaikan taklimat kesiapsiagaan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi cabaran angin Monsun Timur Laut dengan kebarangkalian banjir yang mungkin berlaku pada bila-bila masa di seluruh negara, di Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini.
Katanya, dengan kekuatan anggota JBPM seramai 14,986 pegawai sudah melakukan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, berdasarkan pengalaman peristiwa banjir yang melanda negara tahun lalu.
“Langkah ini termasuk dengan mengerahkan kekuatan dan keanggotaan pegawai bomba
terdiri daripada 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan.
“JBPM juga telah mengenalpasti sebanyak 5,325 kawasan termasuk 4,795 lokasi banjir, 186 lokasi kepala air, dan 254 lokasi cerun kritikal,” katanya.
Katanya lagi, selain penubuhan Pasukan Gerak Khas MTL Red Team yang dilancarkan pada 28 Oktober lalu, JBPM juga mewujudkan (Regional Forward Base) yang sebelum ini
ditempatkan di tiga lokasi iaitu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM)
Wilayah Timur, Terengganu untuk respons di kawasan Wilayah Timur; Balai Bomba dan
Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang (Wilayah Utara); dan BBP Ayer Hitam, Johor (Wilayah Selatan).
“Dari segi kekuatan logistik darat dan air, kesiapsiagaan ini melibatkan kenderaan angkut
ringan sebanyak 584 unit, kenderaan angkut berat 140 unit dan kenderaan marin 487 unit
termasuk 62 bot pelbagai jenis sumbangan syarikat, NGO serta orang perseorangan
dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,211 unit,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, arahan pembekuan cuti secara total telah dikeluarkan pada 4 November hingga 30 November 2022.
“Bagi bulan Disember bermula 1 Disember 2022 sehingga 15 Januari 2023 pula hanya 20% daripada keseluruhan pegawai dan anggota dibenarkan bercuti sehingga data yang direkodkan menunjukkan trend penurunan dan keadaan kembali terkawal,” katanya.