HomeBeritaViralPeminat Jepun sanggup terbang 5,134km demi Mechamato!

Peminat Jepun sanggup terbang 5,134km demi Mechamato!

 

CYBERJAYA: Satu kebanggaan buat industri filem tanah air apabila hasil karya anak jati Malaysia berjaya menawan hati orang dari luar negara sehingga sanggup terbang ke sini demi menonton filem tempatan.

Itulah yang dikongsi pihak Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) apabila filem animasi mereka, Mechamato menjadi sebutan bukan sahaja dalam Malaysia, malahan hingga ke Jepun.

Menerusi hantaran Facebook page ‘BoBoiBoy’ yang turut dihasilkan Monsta, pihak mereka memaklumkan terdapat seorang peminat dari Jepun sanggup datang ke Malaysia demi menonton filem Mechamato.

“Peminat dari Jepun terbang 5,134 km ke Malaysia untuk menonton Mechamato Movie. Arigatou gozaimasu!

“Tak sangka, jauh dia datang untuk sokong hasil kerja anak tempatan! Hidup #AniMY!!,” tulisnya.

Selepas dua minggu ditayangkan di pawagam, Mechamato Movie menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan melepasi jualan tiket lebih RM20 juta.

Filem Mechamato berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai sebuah kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.

Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.

Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, sekali gus membuatkan mereka bekerjasama untuk mengesan dan menangkap robot jahat.

Untuk rekod,  setakat ini filem animasi Mechamato hanya ditayangkan di Malaysia dan Brunei bermula 8 Disember lalu.

Author

Pilihan Editor