HomeBeritaPolitikAnwar Ibrahim ke Istana Negara 8 pagi Jumaat

Anwar Ibrahim ke Istana Negara 8 pagi Jumaat

CYBERJAYA: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dirinya akan berangkat ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 pagi, Jumaat.

Keberangkatannya ke Istana Negara akan ‘memanaskan’ lagi desas-desus mengenai barisan Kabinet kerajaan baharu yang diterajuinya selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri 24 November lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan, perbincangan berhubung pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dilakukan dan beliau berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita terpaksa bergegas menyelesaikan masalah dengan semua komponen parti kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan jemaah menteri yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dapat kita umumkan kalau boleh dalam masa dua ini, In shaa Allah.

“Setakat ini hampir seluruhnya sudah hampir selesai dan saya akan perkemas kini. Saya ambil kesempatan untuk menyatakan, tidak ada kemenangan kalau tidak ada asas yang dipupuk oleh pihak reformis daripada awal,” katanya pada Khamis malam.

Anwar berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Reformis yang berlangsung seperti yang disiarkan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan sejurus urusan selesai di Istana Negara, beliau akan ke Istana Kinta pada 10 pagi bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sesi berkenaan akan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau turut memaklumkan akan mendirikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati sebelum menyertai kenduri rakyat bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas mempercayai dirinya untuk menggalas mandat yang diberi.

Author

Pilihan Editor