HomeBeritaPolis tahan lelaki disyaki miliki bahan pornografi kanak-kanak

Polis tahan lelaki disyaki miliki bahan pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di Klang, Selangor yang memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak pada Selasa.

Setiausaha Polis Malaysia, PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, penahanan suspek dibuat melalui Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Menurut Noorsiah, kejayaan tangkapan tersebut juga adalah hasil usaha kerjasama erat PDRM dengan ‘Federal Bureau of Investigation’ (FBI).

“Hasil pemeriksaan dalam rumah suspek mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di samping memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Sehubungan itu, rampasan telah dilakukan ke atas komputer, ‘external hard disk’, ‘router’, dan telefon bimbit milik suspek untuk sisatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Suspek kini direman selama empat hari bermula 14 Disember hingga 17 Disember.

Kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kes ini,” jelasnya lagi.

Author

Pilihan Editor