HomeBeritaRemaja hilang dalam hutan, ditemui selamat sedang peluk pokok

Remaja hilang dalam hutan, ditemui selamat sedang peluk pokok

KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Temalir pada Selasa lalu kini ditemui selamat dalam keadaan memeluk sebatang pokok kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut ibu saudara mangsa, Rosliza Ghani @Hassan, 32, anak saudaranya, Norhisham Saifudin, 18, ditemukan dalam keadaan lesu tidak bermaya selain mengalami luka dan calar di seluruh anggota badan.

“Selepas ayah melaungkan azan ketika Maghrib semalam dan masa sama, ibunya pula memanggil nama anak, pagi ini dia ditemui selamat dalam keadaan memeluk sebatang pokok.

“Anak saudara saya tidak mengingati apa yang berlaku kepada dirinya sebaliknya bertanya semula kepada kami apa yang terjadi ke atas dirinya sepanjang tempoh empat hari dia hilang di dalam hutan,” kata Rosliza seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Tambah Rosliza, anak saudaranya itu sempat bercerita tentang pengalaman yang dilaluinya ketika hilang di mana dia melihat orang ramai dan anggota keselamatan sedang mencarinya.

“Pada ketika itu dia cuba menjerit meminta tolong, namun suaranya tidak didengari sehinggalah pada malam tadi datuknya melaungkan azan dan pada masa ibunya menjerit memanggil nama anaknya berulang kali,” katanya lagi.

Maklumnya lagi, Norhisam kini sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang di Kampung Temalir, Selasa lalu, selepas dipercayai melarikan diri ke dalam hutan.

Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencarinya, namun tidak juga ditemui sebelum membuat laporan polis.

Rentetan itu, seramai 42 anggota pasukan keselamatan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain bantuan penduduk kampung dan juga Unit Anjing Pengesan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, remaja berkenaan ditemui anggota penyelamat pada 10 pagi pada jarak 200 meter (m) dari lokasi hilang.

Katanya, ketika dijumpai mangsa sedang berdiri dan tidak berpakaian selain mengalami luka serta calar di seluruh badan.

Author

Pilihan Editor