HomeBeritaAgensi pelancongan negara bantu pantau pelancong China - MITA

Agensi pelancongan negara bantu pantau pelancong China – MITA

AMPANG: Pelancong luar negara khususnya dari China diminta berdaftar dengan agensi pelancongan Malaysia bagi memantau penggunaan pas lawatan melalui perkhidmatan e-visa atau permohonan Visa Luar Negara (VLN).

Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udani mengesyorkan penguatkuasaan pas pelancong luar negara diperketatkan melalui agensi pelancongan berdaftar di Malaysia.

Katanya, peranan industri itu bagi membantu memastikan pelancong yang melancong ke Malaysia mengikut tempoh yang dihadkan, dan pulang ke negara asal semula berdasarkan ketetapan.

Katanya, program Sandbox Inovasi Sosial Langkawi yang membenarkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (Inbound) dengan tempoh tinggal selama tiga hari, pada April lalu, hampir berjaya dilaksanakan dengan membawa pulang pelancong ke negara asal.

“Kita cadangkan perketatkan penguatkuasaan supaya pelawat, pelancong khususnya dari China berdaftar melalui ejen pelancongan Malaysia.

“Di MITA kita ada 3,000 agensi pelancongan, dan memastikan tujuan pelancong datang ke sini untuk melancong, dan dia balik (ke negara asal) dalam masa dihadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas isu jutaan warga China tidak keluar dari Malaysia beberapa tahun lalu, namun kerajaan baru-baru ini mengumumkan langkah peraturan COVID-19 baharu dan lebih ketat susulan permintaan pelancong daripada negara yang kini berdepan lonjakan jangkitan virus itu.

Terdahulu beliau hadir pada sidang media Persediaan Industri Pelancongan Malaysia dengan Kemasukan Pelancong China dan Pelancaran ‘Fish Tales 2023 Cup’ – The Global Chinese Pro Challenge, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar dan penganjur Fish Tales 2023 Cup, Kenneth Tan.

Sementara itu, Shahrin berkata, jumlah kemasukan pelancong China ke Malaysia pada 2019 adalah 26.1 juta orang dengan pendapatan negara bernilai RM86 bilion berbanding kira-kira 134,000 pada 2021.

Katanya, jumlah itu merosot sehingga 96 peratus.

“China adalah penyumbang terbesar pendapatan negara berbanding negara lain.

“Dengan kemasukan kali ini, kita mengharapkan industri dapat membantu memantapkan ekonomi dan nilai matawang negara. Industri pelancongan paling penting untuk ekonomi tahun depan,” katanya yang turut berpendapat pihak Jabatan Imigresen terlibat serius memantau keluar masuk pelancong China di Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan seramai 7,177,043 orang warga China tiba di Malaysia bagi tempoh berkenaan.

Author

Pilihan Editor