HomeHiburanTonjol bakat di TikTok, Youtube untuk mudah dikenali

Tonjol bakat di TikTok, Youtube untuk mudah dikenali

SETAPAK: Vokalis Candy, Pat mahu sesiapa yang berminat dalam bidang muzik rock terutama dalam kalangan wanita supaya bekerja lebih keras untuk menonjolkan bakat terpendam masing-masing menerusi platform aplikasi Youtube dan Tiktok.

Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhira Patricia Robert, 35, berkata, industri muzik tanah air tidak pernah suram dengan kehadiran bakat baharu termasuk genre rock.

Bagaimanapun, katanya senario zaman sentiasa berubah, menyebabkan tuntutan juga perlu seiring tetapi masih mengekalkan elemen sama sampai bila-bila.

Katanya malah, generasi pelapis artis rock wanita sama ada solo atau berkumpulan memang sentiasa ada namun tidak diberi peluang seperti berlaku ketika zaman kegemilangannya.

“Zaman dah berubah, dah tak macam dulu. Kita masih ada kumpulan artis rock wanita, cuma tidak diberi peluang untuk menonjol.

“Ia disebabkan, jika dahulu syarikat rakaman yang akan uruskan pembayaran untuk kita, tetapi sekarang nak buat album pun kena ada duit sendiri,” katanya Candy masih bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Records.

Justeru, Pat menyarankan mereka daripada kalangan wanita yang berbakat dalam muzik rock, mencari peluang lebih baik untuk menonjolkan diri lebih ke hadapan sekali gus menarik perhatian mana-mana syarikat rakaman.

“Kita kena rajin, lebih menonjol selain pamer persembahan di ‘show’ mana-mana, boleh muat naik demo lagu sendiri di Youtube.

“Sekarang yang penting, muat naik di Youtube, tengok viewer (penonton) ramai, kadang syarikat rakaman akan tengok viewer dan berminat untuk panggil,” katanya ketika program sidang media pra pelancaran Konsert Amal Rock Hujung Benua Asia 2022, di Restoran Oasis BBQ Garden, di sini.

Candy dibarisi Pat sebagai vokalis, selain Nancy (pemain bass), Anis Kalisa (gitaris) serta Kim Herrin (pemain drum), bersama 10 artis rock tanah air seperti Man Kidal, Kumpulan Kristal, Bandi Amuk, Ayai Ilusi, Wom UG14, Halim Rockers, Ucop Ahmad, Kumpulan O-Two dan Kumpulan DNA Band akan mengadakan persembahan konsert di Johor akan datang.

Konsert Amal Rock Hujung Benua Asia 2022, dijangka menjadi acara kemuncak Pesta Air Pasang Besar, di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, pada 24 Disember depan.

Konsert itu juga akan diserikan dengan pertembungan petikan gitar antara Man Kidal, Rodi Kristal dan Pat Candy yang pastinya akan memukau para penonton.

Talian hotline konsert 016 3625 786 dan 016 2585 786.

Author

Pilihan Editor