HomeBeritaTanah runtuh: Runtuhan berlaku di tapak kerajaan - Pemilik tapak khemah

Tanah runtuh: Runtuhan berlaku di tapak kerajaan – Pemilik tapak khemah

CYBERJAYA: Pengendali Father’s Organic Farm, Frankie Tan, menegaskan kejadian tanah runtuh di Batang Kali berlaku di atas tanah milik kerajaan dan bukan di tanah yang diusahakannya.

Menurut Frankie, kawasan tanah runtuh itu adalah milik tanah kerajaan iaitu kira-kira tiga kilometer dari tanah ladang yang dipajak pihaknya.

“Sebagai pengendali tapak perkhemahan, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan bertanggungjawab.

“Kawasan tanah runtuh itu adalah milik tanah kerajaan iaitu kira-kira dua atau tiga kilometer dari tanah ladang yang kami pajak.

“Tambahan pula, tapak tanah runtuh adalah hutan besar yang tidak pernah dibangunkan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Pada masa sama, Frankie turut akui bahawa sejak hari kejadian, pihaknya berdepan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga mangsa yang menyalahkannya atas kejadian yang berlaku.

“Selepas kejadian itu, beberapa mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mengutuk saya di tempat kejadian (tanah runtuh).

“Saya faham dan apa yang boleh saya lakukan ialah menundukkan kepala dan membiarkan mereka melepaskan diri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Frankie memaklumkan bahawa pihaknya sedia memberi bantuan dengan apa jua cara dan turut menzahirkan rasa dukacita atas tragedi menyayat hati itu.

Untuk rekod, seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.42 pagi Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 26 lagi disahkan terkorban dan tujuh masih belum ditemui.

Author

Pilihan Editor