HomeSukanTiket terbuka Malaysia dijual bermula Isnin

Tiket terbuka Malaysia dijual bermula Isnin

 

KUALA LUMPUR: Peminat sukan badminton yang ingin menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini dari 10 hingga 15 Jan tahun hadapan, boleh membeli tiket secara dalam talian bermula 11 pagi Isnin depan (5 Disember).

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, tiket untuk acara Jejalah BWF Super 1000 yang baru dinaik taraf itu, bermula daripada RM40 boleh dibeli menerusi https://my.bookmyshow.com/e/PMO23JAN.

“Peminat pasti mengingati keseronokan acara tahun ini. Ia adalah acara menakjubkan yang menyaksikan kehadiran orang ramai setiap hari. Tahun hadapan akan lebih mendebarkan kerana pemain terbaik cuba untuk memulakan 2023 dengan sesuatu yang hebat, manakala pemain negara akan menyasarkan kejayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama-sama beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah akan menjadi tumpuan apabila peminat badminton Malaysia hadir untuk menyokong para wira mereka.

“Sokongan daripada penyokong Malaysia amat penting dan akan memberi inspirasi kepada pemain kita untuk beraksi dalam satu daripada kejohanan tertua di dunia itu,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor