HomeBeritaJika PN jadi kerajaan, pasti lantik Zahid juga sebagai TPM - Mukhriz

Jika PN jadi kerajaan, pasti lantik Zahid juga sebagai TPM – Mukhriz

KUALA LUMPUR: Dalam permainan catur berlaku apabila buah raja seseorang pemain berada dalam posisi yang boleh memerangkap langsung tanpa adanya jalan keluar lain seterusnya mengalahkan pemain tersebut ia dinamakan ‘checkmate’.

Begitulah apabila Barisan Nasional (BN) walaupun kecundang Pilihan Raya Umum ke-15 namun menjadi King Maker dalam pembentukan kerajaan yang hari ini dinamakan Kerajaan Perpaduan.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, jika BN menyertai kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diberi peranan yang sama iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Walaupun saya tidak bersetuju dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai TPM saya pasti (Pengerusi PN, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) akan melakukan perkara yang sama jika BN berpihak kepadanya dan PN. Begitulah kuasa kleptokrat,” katanya dalam ciapan di Twitternya.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai asas tertentu, apabila menamakan Pengerusi BN, Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri I.

“Keputusan itu diambil, sungguhpun wujud nada kemarahan dalam kalangan rakyat.

“Semasa sarapan di Parit 19 tadi, pelbagai reaksi diterima mengenai Kabinet YAB Perdana Menteri @anwaribrahim, khususnya pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang rata-rata mengundang kemarahan.

“Namun, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri tentunya berasas – ibarat kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri I dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, juga akan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau yang juga Presiden UMNO pernah menjawat jawatan itu sebelum ini di bawah kerajaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod, dalam dua tempoh pentadbiran Perdana Menteri yang turut disertai oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Ahmad Zahid tidak tersenarai sebagai anggota Kabinet.

Ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengetuai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuh dengan sokongan UMNO dan BN, Ahmad Zahid, yang sedang berdepan kes mahkamah tidak berada dalam Kabinet.

Begitu juga ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang disokong oleh PN, Ahmad Zahid, juga kekal tersisih daripada menganggotai Kabinet.

Author

Pilihan Editor