HomeBeritaPolitikUndi percaya PM, pemula kestabilan kerajaan

Undi percaya PM, pemula kestabilan kerajaan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah petanda baik kestabilan kerajaan dan kemakmuran rakyat.

Beliau berkata, lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

“Dengan keyakinan dan legitimasi hari ini, ia merupakan manifestasi buat semua pihak termasuklah Kerajaan dan Pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya dalam kenyataan itu, rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Oleh itu pastinya, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini.

“Pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang ini memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

“Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.

“Justeru, kestabilan politik amat penting agar rakyat Malaysia dapat bersama bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih buat mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun atas perkhidmatan beliau selama ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas pemilihan dan selamat bertugas buat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang baharu serta timbalan-timbalan beliau.

“Gunakan landasan ini bagi menjayakan bersama agenda pengukuhan institusi Parlimen dengan sebaiknya,” katanya.

Author

Pilihan Editor