HomePendidikanYayasan Budimas lancar perpustakaan ke-10

Yayasan Budimas lancar perpustakaan ke-10

KARAK: Perpustakaan Kanak-kanak Toys “R” US dan Budimas yang dibina di Kampung Orang Asli Chinta Manis sebagai pusat pendidikan penduduk setempat serta pusat utama pendidikan khas bagi kanak-kanak Orang Asli setempat telah dirasmikan pada 13 Disember lalu.

Perpustakaan ini merupakan perpustakaan kesepuluh yang dibuka oleh Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) dan yang pertama oleh Budimas di Pahang.

Perpustakaan yang dibuka di bawah program Tabung Amal Pendidikan Budimas (BECF) itu dianggarkan akan memanfaatkan Kampung Orang Asli Chinta Manis dengan jumlah penduduk seramai 270 orang dan 80 kanak-kanak.

Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Budimas, Jacqueline Wong berkata, program BECF ini berfungsi sebagai pusat pendidikan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik dan memberikan pendedahan pembelajaran bagi memupuk semangat dan minat pelajar di kalangan mereka.

Menurutnya, di samping dilengkapi dengan buku-buku bersesuaian, perpustakaan itu juga akan menjadi tempat bagi pihak perpustakaan mengadakan aktiviti-aktiviti pembelajaran seperti bahasa Inggeris, Matematik, kelas seni dan kelas kejuruteraan buat kanak-kanak di Kampung Orang Asli Chinta Manis.

“Melalui program ini, kami berharap ia dapat memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia dengan menyediakan kemudahan pendidikan seperti perpustakaan ini di perkampungan luar bandar di seluruh Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian pelancaran perpustakaan itu.

Perpustakaan Kanak-kanak Toys “R” US dan Budimas itu juga boleh digunakan untuk pembelajaran seharian mereka untuk memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan mereka.

Jacqueline dalam ucapan sama turut menyampaikan penghargaan Budimas kepada pihak Toys “R” US yang bersama-sama mengumpulkan dana pembangunan dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA Pahang) yang memberikan kerjasama terhadap penubuhan perpustakaan tersebut.

Pegawai JAKOA Pahang, Zali Rami berkata, beliau mengharapkan kerjasama daripada masyarakat orang asli setempat, pihak Budimas dan Toys “R” US ini akan berterusan di kampung-kampung lain.

Beliau mewakili masyarakat orang asli berasa berbesar hati menerima sumbangan ini dan berharap penduduk Kampung Chinta Manis akan menggunakan kemudahan yang disediakan itu sebaik mungkin.

“Jadi gunakanlah sebaik-baiknya, mohon juga kerjasama daripada ibu bapa, jawatankuasa kampung untuk menguar-uarkannya kepada anak-anak seperti untuk membuat kerja rumah, gunakanlah sebaik-baik mungkin.

“Sebagai orang asli, saya mewakili masyarakat, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan Budimas dan juga Toys “R” US.

“Semoga kebaikan yang tuan-tuan, puan-puan lakukan hari ini, hanya Tuhan sahaja yang membalasnya,” ujar Zali sambil berpesan kepada penduduk untuk menjaga perpustakaan itu, kerana perpustakaan itu adalah untuk jangka masa yang panjang.

Untuk rekod, Budimas merupakan pertubuhan yang ditubuhkan bagi menyediakan bimbingan dan pembiayaan dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

Budimas kini menyokong 43 rumah kebajikan di seluruh semenanjung Malaysia di bawah Tabung Amal Rumah Budimas (BHCF); telah membina perpustakaan untuk kanak-kanak dalam Komuniti Orang Asli dan kini telah mengendalikan 10 daripada perpustakaan tersebut melalui BECF; serta menyediakan sarapan pagi kepada kanak-kanak golongan kurang berkemampuan yang meliputi 150 sekolah di seluruh Malaysia melalui Tabung Amal Makanan Budimas (BFCF).

Author

Pilihan Editor