HomeBeritaZahid mahu perkasakan paksi DESA

Zahid mahu perkasakan paksi DESA

KUALA LUMPUR: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, maksudnya walaupun indah hidup di negeri orang, sebenarnya lebih bahagia hidup di negeri sendiri, demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Biarpun berada di puncak, pemimpin tertinggi negara itu masih memartabatkan peribahasa Melayu dalam kamus hidupnya.

Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya, berkata, kita semua perlu bersatu hati, memupuk kerjasama, melupakan kulit ideologi politik bagi bersama-sama membangunkan negara.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, dalam konteks kementeriannya, peluang tempoh kerajaan bagi penggal ini akan dipenuhi dengan pelbagai usaha untuk memastikan pemugaran (rejuvenation) dan rekayasa sosial (social engineering) melimpah dan dirasai oleh warga desa dengan sebaik-baiknya.

“Rekayasa sosial ini menuntut pihak kerajaan, institusi, malah parti politik untuk memainkan peranan penting memulihkan sikap dan tingkah laku masyarakat dengan membawa agenda pembangunan yang lebih progresif.

“Konsep Desa perlu diberikan makna yang lebih dinamik dan sesuai dengan perubahan dan arus pembangunan.

“Maka desa yang tradisional sebagai kawasan lingkungan yang mempunyai konotasi negatif harus dikikis sesuai dengan perubahan zaman,” tulisnya dalam hantaran, hari ini.

Justeru, beliau menyarankan agar konsep Kemajuan Desa diperluaskan dan diberikan makna besar sesuai dengan komitmen kementerian yang diterajuinya ketika ini.

“Kemajuan Desa akan didorong empat imperatif utama iaitu D.E.S.A (Data dan Digital, Ekonomi, Sosial dan Sahsiah, Akses dan Alam Sekitar)

“Setiap imperatif akan ada huraiannya yang tersendiri dan akan saya kongsikan dari semasa ke semasa.

“Sudah pasti saya memerlukan maklum balas semua warga desa dan bukan desa bagi tujuan ini.

“Amat penting bagi kita yang majoriti kita berasal daripada desa untuk meningkatkan penyertaan idea-idea pembangunan desa,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah inisiatif jangka panjang untuk memastikan kestabilan politik negara berada dalam tahap terbaik dan kukuh, maka fokus kepada isu ekonomi dan rakyat dapat diutamakan.

Justeru, katanya, naratif Melayu dan Islam yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan aspek yang lebih moderate dan progresif.

“Fokus ekonomi perlu diberikan perhatian segera lebih-lebih lagi persediaan negara mendepani suasana ekonomi yang lembap.

“Bank Dunia menjangkakan peningkatan agresif terhadap dasar kadar faedah di negara seluruh dunia akan membawa kepada kemelesetan ekonomi global pada 2023.

“Implikasinya adalah tahap permintaan akan berkurangan akibat kadar faedah yang tinggi yang seterusnya merencatkan ekonomi dunia.

“Terdapat juga kemungkinan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia akan terjerumus dalam masalah ekonomi dan ini memberikan kesan langsung yang tidak baik kepada dunia.

“Maka fokus Kerajaan Perpaduan mendepani pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara perlu mendapat keutamaan daripada berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, ketenangan politik amat diperlukan dalam tempoh lima tahun untuk memulihkan ekonomi negara agar takyat dapat bersama-sama bekerjasama dengan kerajaan untuk membina negara yang lebih baik dan kembali disegani di mata dunia.

Author

Pilihan Editor