HomeGaya HidupAda sebab ayam, itik dijual ‘hidup-hidup’ dalam bungkusan di Sibu, elak kena..

Ada sebab ayam, itik dijual ‘hidup-hidup’ dalam bungkusan di Sibu, elak kena..

SIBU: Jika pergi ke pasar, pasti kita boleh mendapatkan daging ayam, itik, lembu dan kambing yang sudah diproses setelah disembelih.

Bagaimanapun, ada pasar khususnya di pekan kecil atau pasar tani yang menjual ayam dan itik hidup yang diletakkan dalam sangkar atau mungkin ditutup dengan penutup supaya ternakan berkenaan tidak lari.

Namun, menjadi tarikan buat pengunjung luar yang melawati pekan Sibu terutamannya di Sibu Central Market apabila anda bakal melihat cara penjualan ternakan yang sedikit unik berbanding di Semenanjung.

Tinjauan MEDIA VARIASI di Sibu Central Market iaitu pasar terbesar di Sarawak yang menempatkan hampir 1,118 peniaga nyata menarik perhatian seketika apabila kelihatan sebilangan peniaga menjual ayam dan itik hidup dalam bentuk bungkusan.

Lebih menarik perhatian lagi apabila ayam dan itik berkenaan dibungkus menggunakan surat khabar dan disusun rapi di meja jualan tanpa sebarang bunyi bingit seolah-olah ‘dipukau’ menjadi patung.

Menurut penduduk di pekan Sibu, Jessie Mangka, penjualan ayam dan itik hidup dalam bentuk bungkusan itu adalah suatu perkara yang normal di kawasan berkenaan.

Jelasnya, rata-rata penduduk di negeri berkenaan khususnya kaum Iban dan Melanau, lebih gemar makan ternakan yang segar iaitu proses sembelihan itu dilaksanakan oleh mereka sendiri.

Tambah Jessie, antara faktor yang membuatkan para peniaga di Sibu menjual ayam dan itik dalam bungkusan adalah untuk menjaga kebersihan seperti tidak mahu najis ternakan jualan jatuh ke lantai pasar.

Pada masa sama, bungkusan itu memudahkan para pelanggan untuk bawa pulang ternakan yang dibeli.

“Maklumlah dulu naik bas, ekpres bot, motosikal dan lebih senang tak perlu pakai bag plastik, save the earth.

“Kalau majlis bandaran mendapati tempat jualan itu kotor, dikompaun RM50. Kesalahan kali ketiga, lesen perniagaan ditarik balik,” maklumnya kepada MEDIA VARIASI.

Menurutnya lagi, antara ternakan yang mendapat permintaan tinggi oleh pembeli adalah ayam pencen atau tua (berusia setahun lebih).

“Ayam pencen atau tua berusia setahun lebih kurang produktif dijual dengan harga murah, sekitar RM10 ke RM15 seekor.

“Sedap dipansuh dalam buluh, sesuai diguna semasa ada keramaian atau pesta-pesta. Ayam tua tak hancur macam ayam muda dan boleh dipanaskan berhari hari,” ujarnya.

Jessie turut menyatakan bahawa ketika musim perayaan, hampir 500 hingga 600 ekor ayam pencen habis terjual dalam tempoh sehari.

Ditanya mengenai proses sembelihan secara halal, Jessie menyatakan bahawa pembeli juga boleh mendapatkan perkhidmatan penyembelihan atau pemotongan, cabut bulu ayam di pasar Sibu Central Market itu dengan kadar caj RM3 hingga ke RM5 di bahagian jualan pasar basah.

Untuk rekod, Sibu Central Market merupakan salah satu lokasi menarik yang wajib dilawati para pengunjung jika ke Sibu kerana di sini terdapat pelbagai makanan dan barangan menarik dari Sarawak yang sukar didapati di Semenanjung.

Antaranya ialah hasil kraftangan, buah dabai, buah maram, ikan terubuk dan banyak lagi.

Author

Pilihan Editor