HomeBeritaPolitikApakah pengkhianatan itu bukan satu kejahatan? - Puad Zarkashi

Apakah pengkhianatan itu bukan satu kejahatan? – Puad Zarkashi

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kejahatan itu adalah seperti pengkhianatan kepada parti.

Puad berkata demikian menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Ahad, bagi membalas kenyataan yang dikongsi Hishammuddin di Instagram rasminya baru-baru ini.

“Menurut Hishammuddin dalam Instagram beliau, ‘Their evil must not make us lose our good.’ Tindakan memecat dan gantung beberapa pemimpin adalah jahat (evil).

“Dan ia tidak akan membutakan kita terhadap kebaikan orang lain.

“Nak tanya Hishammuddin, apakah perkataan ‘traitor and treachery” (pengkhianatan) serta kesan buruknya kepada parti tidak ada dalam kamus beliau. Apakah itu bukan jahat (evil)?” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin merupakan salah seorang daripada lima ahli UMNO yang digantung selama enam tahun.

Selain Hishammuddin, turut dikenakan tindakan penggantungan ialah Fathul Bahri, Shahril Hamdan, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Pada masa sama, dua yang dipecat parti pula ialah bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn,Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Author

Pilihan Editor