HomeBeritaPolitikBiar tak ramai tetapi bukan pengkhianat - Lokman Adam

Biar tak ramai tetapi bukan pengkhianat – Lokman Adam

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menjelaskan individu yang dipecat dan digantung keahlian UMNO adalah kerana pengkhianatan yang dilakukan mereka terhadap parti itu.

Beliau memberitahu, pemecatan mereka tiada kaitan dengan pendirian tidak setuju usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Kenyataan berkenaan adalah fitnah, tiada kaitan langsung dengan usul dua jawatan penting terbabit.

“Tan Sri Noh Omar sebenarnya digantung tetapi beliau mahu dipecat terus selepas didakwa telah mengeluarkan ucapan tidak wajar, malah memberi sokongan kepada kepada calon bebas ketika Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) baru-baru ini.

“Tindakan beri sokongan kepada bukan calon BN itu telah sabotaj BN sendiri.

“Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula mendakwa parti sudah sakit, parti sesat dan menyerang Presiden ketika lima hari terakhir sebelum PRU, yang menjejaskan calon BN lain.

“Bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menghasut pemimpin UMNO Sabah masuk Bersatu, dan hasut Ahli Parlimen untuk tanda tangan akujanji yang beri mandat kepada Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai PM selepas PRU15.

“Apa gunanya berada dalam BN jika jiwa dan kesetiaan mereka kepada PN?, jadi biarlah dalam BN ini tidak ramai tetapi bukan pengkhianat,” katanya dalam satu kenyataan.

Lokman turut berterima kasih kepada PAS, Bersatu yang telah menunjukkan siapa musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan.

“Terima kasih PN, kerana mereka kita sudah tahu siapa pengkhianat, sekarang kita sedang bersihkan daripada unsur tidak baik.

“Jika orang baik tinggalkan kita, memanglah kita sedih tetapi jika orang yang sudah tikam belakang kita pergi, perasaannya berbeza,” katanya lagi.

Keputusan pemecatan dan gantung keahlian itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam Jumaat sebagai usaha pembersihan parti.

Author

Pilihan Editor