HomeBeritaPolitikBuka kembali kertas siasatan P Ramasamy dalam LTTE

Buka kembali kertas siasatan P Ramasamy dalam LTTE

KUALA LUMPUR: Apabila Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid beban kepada Kerajaan Perpaduan, beliau seolah-olah lupa bahawa dirinya juga beban kepada negara.

Penganalisis bebas, Datuk Dr Ramalan Yunus mahu kerajaan membuka kembali fail siasatan terhadap P Ramasamy atas pembabitannya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, G Saminathan, dan P Gunasekaran, serta 10 lain atas pertuduhan juga dibawa ke mahkamah atas penglibatan dengan LTTE.

“Tuduhan utama ke atas dua ADUN DAP ini adalah kerana mereka memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis ‘Heroes Day’ bagi memperingati anggota LTTE di Taman Ayer Keroh Heights pada 28 November 2018.

“Tuduhan ini menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai mengapa P Ramasamy yang turut terbabit dalam majlis ‘Heroes Day’ tetapi tidak didakwa.

“Sebaliknya beliau berterima kasih kepada mantan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas yang tidak mendakwanya.

“Untuk rekod, menerusi buku Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in Wilderness’, Tommy mengakui wujud campur tangan bidang undang-undang dan kehakiman ketika itu, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Dr Ramalan, P. Ramasamy, pernah mengakui secara terbuka dalam Facebook, beliau juga melibatkan diri dalam majlis ‘Heroes Day’ di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Bagi memastikan keadilan dilihat terlaksana, sepertimana dua Adun DAP itu didakwa kerana terlibat dalam majlis ‘Heroes Day’di Melaka maka P. Ramasamy juga perlulah didakwa kerana terlibat dalam majlis ‘Heroes Day’ di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Apatah lagi bila majlis ‘Heroes Day’ yang P. Ramasamy hadiri itu adalah dibuat di Pusat Khidmat DAP.

“Apa perlunya ahli politik yang sudah mengangkat sumpah untuk setia kepada Malaysia tetapi menunjukkan kesetiaan itu kepada Sri Lanka?

“Dengan pembebasan P Ramasamy ini dan ucapan terima kasih kepada Tommy Thomas, maka berapa ramai lagikah ‘sleeping cell’ atau penyokong kumpulan pengganas di kalangan ahli politik dan golongan profesional di Malaysia yang ada jawatan tinggi kerajaan?” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya rakyat perlu tahu kenapa kes siasatan P Ramasamy dibekukan sedangkan ada kes yang lebih ringan dari itu pun sudah didakwa dan dijatuhkan hukuman.

“Ini bukan zaman kerajaan PH 22 bulan. Kerajaan itu suka buat pendakwaan terpilih.

“Undang-undang digunakan sebagai alat untuk menghancurkan lawan politik.

“Ini zaman Kerajaan Perpaduan iaitu Kerajaan Tuanku.

“Kerajaan Perpaduan harus berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira status dan parti politik mereka.

“Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, buktikan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan bagi seluruh rakyat Malaysia. Bukan sebuah kerajaan hanya untuk PH sahaja,” katanya.

Ramalan turut menegur cara P Ramasamy memberi komen negatif kepada pucuk pimpinan UMNO yang boleh diumpamakan masuk kamar tidur UMNO dan kritik mengenai keadaan kamar itu.

“Ini bukan teguran, tetapi telah merendahkan maruah, martabat serta menguris hati kepimpinan serta ahli UMNO secara keseluruhan.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, ” katanya.

Author

Pilihan Editor