HomeGlobalDua remaja tergamak culik dan bunuh rakan untuk jual organ

Dua remaja tergamak culik dan bunuh rakan untuk jual organ

MAKASSAR: Gara-gara terpedaya dengan iklan penjualan organ, dua orang remaja lelaki sanggup membunuh rakan mereka demi mendapatkan ginjal untuk menjadi kaya.

Suspek berusia 14 dan 17 tahun itu ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai membunuh rakan mereka, Muhammad Fadli Sadewa, 11, di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia, pada Selasa.

Ketua polis Panakukang, Abdul Azis berkata, hasil siasatan mendapati, Muhammad Fadli meninggal dunia akibat dicekik dari arah belakang dan kepalanya dihentakan ke dinding sebanyak lima kali, lapor Detik.com.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku bersalah atas tindakan membunuh itu kerana terpengaruh dengan ganjaran yang ditawarkan oleh iklan penjualan organ manusia di Internet.

“Hasil siasatan terhadap kedua suspek yang masih pelajar itu, mereka mengaku tertarik dengan harga penjualan organ tubuh manusia.

“Mereka melihat (aktiviti penjualan organ) di enjin carian Google,” katanya.

Laporan sama turut dinyatakan bahawa salah seorang daripada suspek telah merancang penculikan dengan menunggang motosikal ke Jalan Batua Raya, Makassar untuk menculik mangsa.

Sebagai umpan, suspek mengajak mangsa untuk membantunya membersihkan rumah dengan menawar upah sebanyak 50,000 rupiah (RM14).

Namun, sebaik sahaja mangsa tiba di lokasi, dia dicekik dari arah belakang dan kepalanya dihentak ke dinding sebanyak lima kali hingga meninggal dunia.

“Selepas kanak-kanak itu meninggal dunia, suspek mengikat kaki budak itu dan memasukkan mangsa ke dalam plastik berwarna hitam.

“Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, suspek kemudian membuang mayat mangsa ke kawasan air kumbahan,” kata Abdul Azis.

Ketika diajukan apakah faktor yang membuatkan mereka sanggup berlaku kejam sedemikian, suspek menyatakan tujuan mereka membuat perkara itu adalah untuk mendapatkan wang bagi membina sebuah rumah.

Bagaimanapun, kedua suspek membatalkan hasrat mereka untuk mengambil organ ginjal mangsa kerana mendapati iklan yang mereka temui di internet sebelum ini sudah tiada.

Kedua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut.

Author

Pilihan Editor