HomeBeritaAPM mahu tambah perjawatan tetap, kontrak

APM mahu tambah perjawatan tetap, kontrak

KAJANG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) merancang untuk menambah jumlah perjawatan berstatus tetap dan kontrak dalam usaha memperkukuhkan lagi pelaksanaan operasi dan organisasi.

Usaha itu sedang dibincangkan di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk pemilikan aset pasukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha APM berasaskan pertahanan berorientasikan rakyat namun masih menuntut keperluan dalam aspek kesiapsiagaan anggota bagi berdepan kemungkinan bencana bila-bila masa.

Katanya, APM masih perlu ada pegawai yang diambil melalui skim perkhidmatan kerajaan, di seluruh peringkat.

“Di seluruh peringkat, sama ada di peringkat pusat, negeri dan daerah, masih ada keperluan untuk kita mempunyai pegawai melalui skim perkhidmatan kerajaan, sama ada perjawatan tetap atau boleh dimulakan dengan perjawatan kontrak, untuk menjadi tunggak secara sepenuh masa.

“Bencana ini, hakikatnya sesuatu yang di luar jangkaan kita,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat APM, Sungai Merab, di sini hari ini.

Armizan berkata, tumpuan perjawatan itu bagi tujuan operasi di daerah menghadapi ancaman musuh, kecemasan dan bencana.

Armizan berkata, ketika ini APM mempunyai kekuatan kira-kira 10,500 anggota termasuk sukarelawan.

Turut diberi fokus dalam meningkatkan keupayaan dan pemilikan aset APM termasuk perolehan 100 ambulans pacuan empat roda dengan 11 unit yang sudah diserahkan tahun lalu, sebanyak 30 unit pada tahun ini untuk kegunaan di Sabah dan Sarawak manakala selebihnya pada tahun hadapan.

Author

Pilihan Editor