HomeHiburanFilem P Ramlee hebat sebab tiada LPF - Ogy

Filem P Ramlee hebat sebab tiada LPF – Ogy

KUALA LUMPUR: Industri kreatif tempatan perlu bersifat terbuka dan membangun lebih terkehadapan dalam menggarap perjalanan seni negara supaya berkembang baik, tanpa campur tangan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Mengambil contoh kejayaan filem seniman agung, Tan Sri P Ramlee; atau dari Hollywood Korea, Bollywood India dan Hollywood, tiada pihak ketiga mencampuri urusan hasil kerja filem masing-masing.

Perkara itu didedahkan oleh seniwati berkaliber tanah air Fauziah@Ogy Ahmad Daud.

Fauziah mendakwa, penulisan skrip filem atau drama Malaysia sebagai contoh, agak ‘longgar’ untuk diterjemah kepada lakonan kerana LPF mencampuri.

“Penulisan skrip Malaysia selalu kelihatan longgar kerana LPF mencampuri, tiada kebebasan. Ia sangat berbeza dengan Bollywood, Indonesia, Korea.

“Saya ingat lagi, ketika tercalon Top 5 Asia Pacific di Korea, kategori Aktres Terbaik untuk filem Puteri, apa yang dijual di sana (anugerah filem)? Tradisi dan budaya, dan mereka tidak ada lembaga penapis (LPF) yang mengatakan itu ini tidak boleh.

“Mereka jual mitos berat seperti reincarnation (jelmaan semula), sebab mereka percaya. Mereka ada kebebasan mengekspresi kreativiti mereka,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau yang popular dengan watak Asmidar dalam filem Ali Setan itu berkata, apabila senior dalam industri bersuara mengenai permasalahan yang sedang berlaku dalam industri, mereka hanya dimaklumkan kerana itu yang netizen mahu.

“Kenapa perlu menyalahkan netizen yang mereka didedahkan dengan platform lain seperti Netflix dan Youtube, walhal anda tidak mahu terbuka minda untuk meneroka ruang baharu yang terbentang luas,” soalnya.

Penyanyi dan pengacara itu juga menyelar tindakan pihak tertentu yang mempersoal dan mempertikai usaha penggiat seni yang cuba bersikap terbuka untuk keluar dari kepompong demi mempertahankan industri.

“Macam mana orang seni di negara kita nak berkembang jika dipertikai, sentiasa diugut tak boleh buat itu ini. Industri ini perlu berkembang, tak boleh berada di tahap itu sahaja.

“Zaman Tan Sri P Ramlee, Shaw Brothers tak pernah mencampuri hasil kerja P Ramlee, zaman itu tak ada LPF. Terus teranglah cakap, zaman sekarang budak teknikal pun boleh jadi pengarah.

“Macam filem Spilt Gravy on Rice, kena ‘reshoot’ balik, berapa tahun, dengan segala macam (tapis),” katanya yang menyifatkan ia seperti gerakan menenggelamkan industri negara,” katanya.

Beliau turut mempersoal sama ada kerajaan mengiktiraf penggiat seni yang sebenarnya boleh membantu negara.

Author

Pilihan Editor