HomeBeritaIsu madrasah: Keputusan gugur atau tidak tuduhan palsu diketahui 9 Mac

Isu madrasah: Keputusan gugur atau tidak tuduhan palsu diketahui 9 Mac

SHAH ALAM: Keputusan representasi gugur atau tidak, pertuduhan terhadap seorang wanita yang didakwa membuat laporan palsu bahawa anaknya dikurung secara salah dan didera oleh pihak madrasah di sini, akan diketahui pada 9 Mac depan.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali hari ini telah membenarkan Zuraina Zamri, 45, untuk menghantar kertas representasi memohon menggugurkan dakwaan terhadapnya kepada pihak pendakwaan.

Peguambela mewakili Zuraina, Ahmad Safuan Hazalan dari firma Tetuan Hanif & Co berkata, dokumen di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah akan dibekalkan oleh pihak pendakwaan pada hari ini.

Dokumen-dokumen tersebut akan dikaji terlebih dahulu sebelum satu representasi dimasukkan untuk memohon kes berkaitan seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan palsu digugurkan.

“Sebelum 9 Mac, kita akan masukkan satu representasi untuk DPP (Timbalan Pendakwa Raya) kaji semula pertuduhan kes ini, kita akan bawa kepada Peguam Negara, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Turut hadir Datuk Haniff Hashim dari firma Tetuan Haniff & Co.

Surirumah itu sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali pada 26 September 2022.

Bagaimanapun, keanehan berlaku apabila dokumen pendakwaan belum diterima pihak pembelaan ketika 16 November 2022 yang menyebabkan sebutan tidak diteruskan.

Pertuduhan terhadap surirumah berkenaan mula tular selepas usahanya menyelamatkan anaknya di madrasah berkenaan pada Ogos lalu, dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas penghuni madrasah (tengah) yang mendakwa didera

Bekas pelajar berkenaan telah membuat dua laporan polis masing-masing pada 23 Ogos dan 25 September, mendakwa dia dikurung secara salah dan diseksa.

Isu madrasah terbabit turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Che Puan Khaleeda menerusi Instastorynya telah mengulang siar video Tiktok seorang individu menggunakan akaun nama firdausashaj, yang memaparkan imej Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris.

Che Puan Khaleeda, isteri kepada Tengku Mahkota Johor mengulang siar video sidang media oleh bekas pelajar madrasah yang mendakwa dikurung secara salah dan didera.

Imej tersebut daripada video ketika Nazilah mengadakan sidang media berhubung dakwaan bekas pelajar madrasah itu turut disertakan tulisan dengan tajuk ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’.

Terbaharu, pihak polis memanggil semula bekas pelajar itu selepas lima bulan laporan polis dibuat bagi membantu melengkapkan kes siasatan kes penderaan oleh madrasah berkenaan.

Author

Pilihan Editor