HomeBeritaJawatan Nurul Izzah tak sesuai, Zaid harap PM dengar keluhan orang ramai

Jawatan Nurul Izzah tak sesuai, Zaid harap PM dengar keluhan orang ramai

CYBERJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendengar keluhan orang ramai berhubung pelantikan Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah disahkan dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Pelantikan tersebut menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak termasuk orang ramai yang mempertikaikan dan mempersoalkan prinsip perjuangan PH apabila ‘nepotisme’ ini dilakukan.

Mengulas perkara tersebut, Zaid berkata, jawatan yang dilantik kepada Nurul Izzah itu tidak sesuai untuknya, malah beliau turut mencadangkan jawatan yang lebih sesuai.

“Ia tidak sesuai untuknya, jadi saya harap Perdana Menteri dengar keluhan orang ramai. Saya rasa pekerjaan yang sesuai untuk Nurul ialah kedutaan, dia seorang yang sangat prihatin, jadi peranan yang boleh dia mainkan ialah kedutaan parlimen, kita tidak ada jawatan itu.

“Jika ada masalah-masalah dengan kementerian, menteri-menteri dan jawatan-jawatan, orang ramai boleh mengadu kepada kedutaan, jadi saya cadangkan Nurul jadilah kedutaan parlimen.

“Saya tidak bimbang sangat pasal nepotisme, seperti yang Lee Kuan Yew cakap dulu lah, ‘jika saya mempunyai anak lelaki yang sangat berkebolehan, adakah saya perlu melucutkan kelayakannya daripada perkhidmatan awam?’

“Sudah tentu jika anak lelaki atau perempuan anda sangat berkebolehan, berkebolehan luar biasa, saya fikir anda boleh menjadikannya pengecualian, dia boleh dilantik tetapi untuk peranan yang sesuai untuknya,” katanya menerusi Facebooknya pada Isnin.

Jelasnya, Nurul Izzah boleh dilantik jika mempunyai kemampuan yang luar biasa dan lebih daripada orang lain, supaya tidak nampak nepotismenya dan kesan buruk nepotismenya.

Tambahnya, jika Anwar tidak mendengar keluahan orang ramai, Anwar juga sama sahaja dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Author

Pilihan Editor