HomeBeritaKerajaan Arab Saudi lulus 31,600 kuota haji jemaah Malaysia

Kerajaan Arab Saudi lulus 31,600 kuota haji jemaah Malaysia

CYBERJAYA: Malaysia menerima kuota haji untuk penghantaran seramai 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia.

Menurutnya, perkara itu diumumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, semalam.

“Di dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia telah memuji negara Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod pada 2022, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.

Susulan peningkatan kuota bagi tahun ini, Mohd Na’im mewakili pihak Kerajaan Malaysia menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu.

Katanya, beliau yakin penilaian sudah dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi dari semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin ketika menunaikan rukun Islam yang kelima.

“Saya memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor