HomeBeritaHampir 1,000 orang sertai demonstrasi bantah ahli politik Sweden bakar Quran

Hampir 1,000 orang sertai demonstrasi bantah ahli politik Sweden bakar Quran

KUALA LUMPUR: Kira-kira lebih 1,000 orang telah menyertai himpunan ‘Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh Ahli Politik Sweden’ anjuran PAS pada Jumaat.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar selepas beliau bersama tiga orang wakil menyerahkan memorandum bantahan tindakan ahli politik tersebut di Kedutaan Sweden.

“Himpunan pada hari ini disertai hampir 1,000 orang yang telah disusun hampir dua hingga tiga hari sebelum dan datang dari seluruh negara, dari Gelugor sehingga ke Perlis, ada juga yang datang dari Sabah dan Sarawak.

“Kita menyatakan bantahan kita terhadap seorang ahli politik haluan kanan ekstrem di Sweden yang telah membakar al-Quran, kita menyatakan kebencian kita terhadap perbuatan tersebut.

“Dan kita juga merasakan bertanggungjawab daripada pihak kami sama ada daripada parti politik Perikatan Nasional (PN); PAS, Bersatu, Gerakan dan seluruh komponen parti, dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir termasuklah mahasiswa,” katanya.

Himpunan tersebut bermula selepas para peserta selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Syakirin KLCC dan terus bergerak dari situ menuju ke bangunan Kedutaan Sweden.

Satu memorandum membantah tindakan ahli politik Sweden tersebut juga telah dihantar di Kedutaan Sweden oleh gerakan himpunan tersebut yang diwakili Khairul Nadzir; Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim; selebriti, Caprice dan wakil Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Asyriq.

Turut kelihatan hadir demonstrasi ialah Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda PN dan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari serta Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Author

Pilihan Editor