HomeBeritaYayasan Al Manjie fokus bantuan logistik

Yayasan Al Manjie fokus bantuan logistik

KAJANG: Konsortium ‘foodbank’ pertama di Malaysia, Yayasan Al Manjie buat masa ini memfokuskan bantuan logistik kepada mangsa bencana dan siswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Justeru, Pengasas Yayasan Al Manjie, Zuwairi Japri Almanjie, menggalakkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri korporat untuk menempatkan bantuan keperluan asas, pakaian dan makanan minuman manis di pusat pengumpulan sumber yang terletak di kilang De Metrology Sdn Bhd (DMSB), di sini.

Katanya, kerjasama strategik bersama lapan NGO lain membantu untuk menyalurkan semula bantuan lojistik itu kepada yang memerlukan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini kita fokus pada mangsa banjir dan golongan siswa/siswi. Tuala wanita yang paling diperlukan, selain roti, mi segera, biskut, gandum, gula, minuman manis, cokelat, serta barang elektrik.

“Cuma, dari segi penghantaran, makanan dan minuman perlu dihantar dalam tempoh tiga bulan sebab ia ada tempoh luput.

“Proses penghantaran itu memerlukan kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan 52,000 unit tudung oleh Pengasas Helping Shoulder, Datuk Norma Ibrahim kepada Yayasan Ragad yang diwakili Lila Ruzaini di sini.

Turut hadir menerima bantuan, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Superintendan Polis (ASP) Erda Firdayu Saroji; Pengerusi Rescue Ummah Malaysia, Kamarul Jamaluddin dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Zuwairi berkata, yayasan juga dalam perancangan untuk membuka cawangan konsortium di Sarawak akan datang selepas di Kelantan, Melaka dan Johor.

Katanya, rakan strategik yang terlibat dengan konsortium Yayasan Al Manjie antaranya Food Aid Foundation, Lost Food Project, Kechara Soup Kitchen Society, Mutiara Foodbank, Micro Malaysia Perlis, Muhibbah Bank dan Nation Of Women (NOW).

Manakala rakan bukan strategik pula terdiri daripada Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Ragad Foundation, Helping Shoulder dan Southern Volunteer (Johor).

Author

Pilihan Editor